STPM: Solat tahajud, bacaan al-Quran kunci pelajar Autistik raih 4.0

STPM: Solat tahajud, bacaan al-Quran kunci pelajar Autistik raih 4.0

ALAM Haikal Jansari Anuar (dua kiri) bersama ibunya semasa menerima keputusan cemerlang STPM di SMK Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Amalan solat tahajud dan bacaan al-Quran setiap hari menjadi kunci kejayaan buat pelajar Autistik Alam Haikal Jansari Anuar, 20, meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang hari ini.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang itu, keputusan ‘straight A’ dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah dan Pengajian perniagaan turut dipacu oleh tumpuan tinggi sepanjang pembelajaran di dalam kelas dan proses mengulangkaji.

“Saya mengulangi kaji satu-satu mata pelajaran selama enam jam yang dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama bermula pukul 3 pagi hingga 6 pagi.

“Sesi kedua pula pukul 4 petang hingga 7 malam. Saya gunakan kaedah beri tumpuan penuh kepada satu-satu mata pelajaran. Bagi saya ia lebih mudah untuk difahami,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Machang di sini hari ini.

Alam Haikal memberitahu, dia terkejut memperoleh keputusan cemerlang selepas menyangka hanya mampu meraih PNGK 3.5 sahaja.

Katanya, dia tidak pernah menjadikan kekurangan pada diri sebagai halangan untuk berjaya sebaliknya terus bersemangat untuk cemerlang seperti pelajar normal lain.

“Saya berterima kasih kepada kedua ibu dan ayah, guru-guru serta rakan-rakan yang memberikan sokongan sehingga memperoleh keputusan cemerlang.

“Cita saya mahu menjadi guru dan seterusnya mengubah nasib keluarga serta membalas jasa kedua ibu bapa,” ujarnya.

Sementara itu, ibunya, Norlaila Ismail, 54, meluahkan rasa syukur dan menyifatkan Alam Haikal menjadi anak pertama dalam keluarga yang akan menyambung pengajian ke universiti.

“Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Alam Haikal. Kami ada tiga anak kategori orang kelainan upaya (OKU) termasuk Alam Haikal,” ujarnya yang menetap di Kampung Air Belaga di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN