PUTRAJAYA: Aset wang tunai RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang didakwa ada kaitan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.
“Setakat ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bersetuju dalam tempoh seminggu atau dua lagi akan difailkan proses pelucutan aset yang dirampas itu selepas kita kemukakan afidavit untuk melucutkan hak,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Azam juga turut mengesahkan, kes membabitkan Ismail Sabri juga sudah selesai dan kini bergantung kepada TPR untuk membuat dakwaan jenayah (rasuah).
“Kini terpulang kepada Ahli Parlimen Bera itu untuk mencabar permohonan SPRM tersebut di mahkamah,” katanya.
Pada masa sama, kata Azam, siasatan terhadap bekas menantu Ismail Sabri, Datuk Jovian Mandagie juga telah selesai dijalankan.
Menurutnya, siasatan ke atas Jovian adalah berkaitan salah satu aset yang menjadi perkara utama dalam kes itu dimana Jovian diperlukan sebagai saksi.
“SPRM kini di peringkat menyempurnakan kertas siasatan dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu. Seterusnya, kes ini dikemukakan kepada TPR untuk cadangan keputusan,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’.
SPRM turut menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes tersebut.
Difahamkan, kesemua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri. – UTUSAN










