PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan agar kelemahan dasar dan sistem di pintu masuk negara khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditangani secara struktural.
Dapatan awal SPRM mendapati, kegiatan counter setting berlaku di pintu masuk negara berpunca daripada kelemahan struktur dasar dan sistem sedia ada yang telah lama menjadi ruang kepada aktiviti penipuan serta salah guna kuasa.
Kelemahan itu menyebabkan berlakunya isu lambakan warga asing yang cuba memasuki negara secara tidak sah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman memberitahu Utusan Malaysia, siasatan menyeluruh telah dilaksanakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) suruhanjaya itu bagi mengesan perbuatan meluluskan kemasukan pelawat asing secara tidak sah melalui manipulasi di kaunter imigresen.
Kata beliau, penyiasatan tatakelola dalam amalan, sistem dan tatacara kerja di pintu masuk utama negara mendapati, kelemahan dasar kemasukan warga asing dan pelawat asing ke Malaysia pada masa ini tidak diselaras secara bersepadu antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi lain yang berkaitan.
Jelas beliau, beberapa syarat kemasukan yang longgar seperti kebenaran masuk menggunakan pas lawatan sosial tanpa tapisan risiko yang efektif, membuka ruang kepada penyalahgunaannya.
Selain itu, tiada mekanisme prasaringan yang kukuh menyebabkan pelawat berisiko tinggi boleh memasuki negara, malah sebahagiannya menggunakan visa pelancong untuk tujuan bekerja atau menetap secara tidak sah.
“SPRM juga melihat kelompongan beberapa insentif dalam dasar pelancongan negara seperti kemasukan bebas visa bagi warganegara tertentu dan kempen pelancongan berskala besar tidak diselaraskan sepenuhnya dengan dasar keselamatan sempadan.
“Perkara ini sekali gus menyebabkan pelawat dari negara-negara sumber pendatang asing tanpa izin (PATI) dilihat memanfaatkan kemudahan ini untuk masuk ke Malaysia, menyimpang daripada tujuan pelancongan.
“Ini menunjukkan ketiadaan koordinasi antara promosi pelancongan dengan mekanisme keselamatan dan agensi penguat kuasa,” katanya di sini, semalam.
Azmi memberitahu, kelemahan lain yang dikenal pasti iaitu dasar pekerja asing yang tidak menyekat penyalahgunaan permit pekerjaan.
Jelas beliau, dasar rehiring dan program rekalibrasi yang membenarkan PATI mendapatkan permit kerja selepas tempoh tertentu tanpa tindakan tegas ke atas majikan, telah melemahkan keberkesanan Akta Imigresen (Akta 155).
“Majikan berulang kali menggaji pekerja tanpa dokumen sah kerana mengetahui terdapat mekanisme ‘pemutihan’ pada masa hadapan.
“Ini menjadikan Malaysia destinasi menarik kepada pelawat asing untuk tinggal lebih masa dengan harapan memperoleh status sah kelak,” ujarnya.
Jelas beliau, Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) sebagai nadi utama pemprosesan imigresen juga didapati mempunyai beberapa kelemahan teknikal dan integrasi.
Kata Azmi, sistem itu dikesan tidak bersepadu dengan sistem lain kerana tidak dihubungkan secara langsung dengan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS); sistem eVisa sekali gus menjadikan semakan silang sukar dilakukan.
“Beberapa proses kritikal seperti permohonan kuota pekerja masih dijalankan secara manual, membuka ruang kepada pemalsuan dokumen sokongan.
“(Sistem) Autogate yang tidak dilengkapi dengan pengesahan biometrik seperti cap jari atau pengecaman wajah menyebabkan pengesahan identiti pelawat hanya berdasarkan maklumat isytihar sendiri melalui sistem Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) yang mudah dimanipulasi,” jelasnya.
Azmi menegaskan, kombinasi kelemahan dasar dan sistem ini membuka ruang kepada sindiket atau individu tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti counter setting, terutama pada waktu puncak seperti musim perayaan atau cuti umum.
“Sindiket ini menyasarkan pelawat dari negara sumber dengan menawarkan ‘laluan mudah’ untuk masuk ke negara ini melalui sogokan, pemalsuan dokumen, atau kerjasama dengan pegawai yang menyalahguna kuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, SPRM sentiasa mengambil serius isu lambakan warga asing dan sentiasa terbuka serta mengalu-alukan sebarang maklumat, aduan atau laporan berkaitan kegiatan rasuah di pintu masuk negara termasuk aktiviti counter setting.
Beliau menegaskan, segala maklumat yang diterima akan diteliti dan disiasat secara profesional, dengan jaminan perlindungan penuh terhadap pemberi maklumat di bawah undang-undang sedia ada.
Jelas Azmi, SPRM komited untuk bekerjasama secara rentas agensi dalam memperkukuh kawalan sempadan negara dan menutup sebarang kelemahan dasar serta sistem yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan peribadi atau sindiket.
“Bagaimanapun, tanggungjawab utama menyekat kemasukan warga asing secara tidak sah adalah terletak di bawah agensi yang mengawal selia pintu masuk negara itu sendiri.
“SPRM akan terus memainkan peranannya melalui siasatan, risikan dan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa yang dikenal pasti,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 25,568 warga asing disekat dan dihalau daripada memasuki Malaysia sejak 2024 hingga Mei lalu kerana gagal memenuhi syarat kemasukan yang sah. – UTUSAN










