RHB Islamic Bank Berhad sumbang zakat kepada MAIPs berjumlah RM1 juta - Utusan Malaysia

RHB Islamic Bank Berhad sumbang zakat kepada MAIPs berjumlah RM1 juta

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan menerima mengadap persembahan cek cura sumbangan zakat korporat oleh RHB Islamic berjumlah RM1 juta kepada MAIPs di Masjid Al-Muqorrobin Behor Empiang, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: RHB Islamic Bank Berhad menyampaikan sumbangan zakat korporat berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Penyerahan sumbangan itu dipersembahkan oleh Pengarah Urusan RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Masjid Al-Muqorrobin Behor Empiang, di sini, sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Tahun 2025.

Berangkat sama pada majlis itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Pada tahun ini, jumlah sumbangan disampaikan itu turut menunjukkan peningkatan sebanyak RM350,000 berbanding RM650,000 pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadikannya jumlah tertinggi pernah disalurkan bank itu setakat ini.

Sumbangan berkenaan juga adalah merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan institusi tersebut terhadap pembangunan sosio ekonomi komuniti asnaf di negeri ini.

Terdahulu Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 300 asnaf terpilih dari kalangan kariah Behor Empiang, Abi, Nesam dan Kechor bernilai RM210,000 secara keseluruhan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN