PEKAN: Beberapa draf resolusi penting berkaitan usaha pencegahan dan pengawalan penyalahgunaan dadah di rantau Asia Tenggara berjaya dimuktamadkan menerusi Mesyuarat kelapan Majlis Penasihat AIPA mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) yang berakhir hari ini.
Setiausaha Agung AIPA, Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman berkata, mesyuarat selama dua hari di Kuantan menyaksikan kesepakatan dicapai dalam kalangan negara anggota ASEAN terhadap pelbagai cadangan dasar dan strategi tindakan bagi menangani isu dadah secara holistik dan rentas sempadan.
Katanya, kesemua draf resolusi berkenaan akan dibawa ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini, sebelum dipertimbangkan untuk diluluskan dan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kami berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama erat semua perwakilan negara anggota sepanjang sesi perbincangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai lawatan 44 delegasi Parlimen negara ASEAN ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi dan Muzium Pahang di sini hari ini.
Sempena lawatan rasmi itu, para delegasi diberi peluang melihat sendiri kehalusan seni Tenun Pahang Diraja serta pelbagai produk kraf eksklusif yang dihasilkan oleh tenaga mahir tempatan di pusat kraf tersebut.
Antara tarikan utama ialah koleksi peribadi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyerlahkan nilai estetika serta warisan budaya tinggi negeri ini.
Rombongan turut berkunjung ke Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan dan disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional Pahang yang menggamit rasa dan penuh nostalgia tempatan.
Menurut Siti Rozaimeriyanty, antara fokus utama resolusi itu ialah memperkukuh intervensi awal, pendidikan pencegahan dan rawatan serta pemulihan kepada golongan belia yang terdedah kepada ancaman penyalahgunaan dadah.
Katanya, pendekatan bersepadu dan kolaboratif dalam kalangan negara anggota begitu penting agar permasalahan dadah dapat ditangani secara lebih berkesan, tanpa mengira sempadan geografi mahupun budaya. – UTUSAN