KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh menangguhkan reformasi struktur demi menyelamatkan ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, adalah menjadi satu keperluan mewujudkan garis panduan untuk melaksanakan reformasi menyeluruh merangkumi subsidi, percukaian, struktur fiskal dan sistem penjagaan kesihatan.
“Reformasi bukan satu kemewahan, ia satu keperluan nasional. Kita tiada pilihan selain melaksanakannya untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, semalam.
Menurut Anwar, reformasi yang dilaksanakan mungkin tidak popular, namun penting untuk meletakkan asas ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, institusi kewangan seperti BNM dan sektor perbankan harus memainkan peranan bukan hanya dalam soal kewangan, tetapi juga memberi pemahaman kepada masyarakat.
“Kita perlukan kerjasama daripada institusi-institusi untuk bukan sahaja menyokong reformasi fiskal, tetapi juga memberi penerangan dan mendidik rakyat tentang keperluannya,” jelasnya.
Tambah Anwar, langkah seperti rasionalisasi subsidi tidak dilakukan sewenang-wenangnya, tetapi berasaskan keadilan ekonomi.
Malah katanya, subsidi tidak wajar terus dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing, sedangkan golongan rentan terus terbeban.
“Subsidi tidak salah jika disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Tetapi subsidi untuk orang kaya dan warga asing yang tidak membayar cukai? Itu tidak adil dan membebankan fiskal negara,” katanya.
Sebagai rekod, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM20 bilion setahun untuk subsidi RON95 dengan 40 peratus atau bersamaan RM8 bilion dinikmati oleh golongan 15 peratus pendapatan tertinggi dan warga asing.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyentuh cabaran sistem kesihatan di negara ini dengan menyifatkan sektor tersebut memerlukan perubahan semakin mendesak, dengan kos penjagaan kesihatan swasta yang melonjak dan akses semakin terbatas bagi rakyat biasa.
Justeru, beliau berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dengan dianggotai Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk mencari penyelesaian tuntas bagi menjadikan rawatan kesihatan lebih mampu milik.
Katanya, kerajaan akan melaksanakan perubahan asas sistem penjagaan kesihatan swasta dengan beralih kepada model ‘berdasarkan hasil’ atau value-based healthcare (VBHC).
“Kita tidak bercakap tentang perubahan kecil, tetapi perubahan asas. Kita perlu beralih kepada sistem penjagaan kesihatan swasta berasaskan nilai yang mengutamakan keputusan klinikal, ketelusan dan keadilan.
“Ini bukan hanya isu ekonomi. Ini isu kesejahteraan nasional. Ramai rakyat tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan kerana kos yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut berkongsi pengalaman menerima rawatan di hospital kerajaan yang disifatkan sebagai satu keperluan untuk dipertingkatkan.
“Terdapat katil dibeli dengan harga ratusan ribu ringgit tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya. Ini mencerminkan pembaziran yang perlu dielakkan.
“Kita tidak boleh bercakap tentang reformasi jika rasuah dan pembaziran terus berleluasa. Kita mesti bina sistem yang telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Mengenai teknologi, beliau mengumumkan pelancaran Hab Inovasi Aset Digital untuk mempercepat penggunaan teknologi kewangan seperti mata wang digital dan pembayaran boleh atur, sambil mengekalkan kawalan berhemat oleh pihak berkuasa. – UTUSAN










