Polis Pahang siap sedia hadapi AIPCODD 2025 - Utusan Malaysia

Polis Pahang siap sedia hadapi AIPCODD 2025

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang mempertingkat tahap kawalan keselamatan sempena penganjuran Persidangan ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Advisory Council On Dangerous Drugs (AIPCODD) 2025 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 Jun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, persiapan rapi sudah pun dilakukan termasuk aspek keselamatan dan kawalan lalu lintas di lokasi utama persidangan yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Menurut beliau, pasukan keselamatan kontinjen negeri sudah digerakkan sepenuhnya dan berada dalam keadaan siap siaga.

“Kita akan memastikan tahap keselamatan berada di paras tertinggi sepanjang tempoh persidangan, termasuk di lokasi lawatan rasmi seperti di Pekan dan Menara Kuantan 188.

“Malah, kita akan menggunakan sepenuhnya kekuatan anggota dalaman dan sekiranya perlu, bantuan tambahan akan dipohon,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Yahaya berkata, mesyuarat penyelarasan akhir AIPCODD akan diadakan esok dan bakal dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Mengulas tentang penutupan jalan, beliau menjelaskan ia hanya akan dilaksanakan mengikut keperluan dan berdasarkan keadaan semasa.

“Sebagai contoh, jika program berlangsung di Menara Kuantan 188, penutupan jalan akan dibuat secara berkala bagi memastikan kelancaran lalu lintas. Kita berharap persidangan ini dapat berjalan dengan lancar dan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN