PKR sentiasa tabah harungi cabaran demi rakyat - Utusan Malaysia

PKR sentiasa tabah harungi cabaran demi rakyat

MUHAMMAD ZUBAIR TUGIMON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang diuji dengan pelbagai persepsi dan tohmahan khususnya daripada pihak-pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pekan, Muhammad Zubair Tugimon sehubungan itu menyeru seluruh ahli khususnya anggota AMK agar terus tabah serta istiqamah dalam perjuangan murni parti tersebut.

“Kami menyedari wujud elemen duri dalam daging dalam parti mahupun dalam kerajaan perpaduan itu sendiri. Ada segelintir individu yang terlalu taksub kepada tokoh tertentu sehingga mengetepikan prinsip perjuangan parti.

“Malah, tidak kurang juga parti dalam gabungan perpaduan yang terus-menerus mengkritik usaha kerajaan, walaupun dasar dan tindakan yang diambil adalah demi kebaikan jangka panjang rakyat Malaysia.

“PKR sentiasa komited untuk berkhidmat dengan jujur, telus dan berani demi kesejahteraan rakyat. Dalam menghadapi segala cabaran ini, saya menyeru agar rakyat, khususnya mereka yang masih di atas pagar, mengambil pendekatan rasional dengan meneliti dan mengkaji setiap dasar dan inisiatif kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhammad Zubair berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah demi masa depan negara yang lebih stabil, makmur dan progresif.

“Jangan biarkan sentimen dan fitnah memesongkan pandangan kita terhadap realiti sebenar. Semua ahli dan pendukung parti, khususnya di Cabang Pekan diminta untuk terus memberi bakti yang terbaik kepada rakyat.

“Inilah masanya untuk kita bersatu hati, memperkukuh perjuangan, dan membuktikan bahawa PKR tetap relevan dan berjiwa rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN