TANAH MERAH: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan pengedaran 10,000 batang rokok seludup selepas menyerbu sebuah rumah kosong yang dijadikan sebagai transit di Kampung Pelain, Batu Gajah, di sini semalam.
Rampasan berjumlah RM18,700 itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 3 petang yang turut disertai sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, rokok-rokok tersebut yang dibawa masuk secara tidak sah itu dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Kesemua barangan rampasan itu dibawa ke IPD Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan rokok dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN