Petronas diminta kaji henti 5,000 pekerja - Utusan Malaysia

Petronas diminta kaji henti 5,000 pekerja

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Petroliam Nasional Sdn. Bhd. (Petronas) diminta mengkaji untuk mengurangkan 10 peratus pekerja atau melibatkan kira-kira 5,000 orang dalam proses penstrukturan se­mu­la syarikat minyak terkemuka dan terkaya negara tersebut.

Pengerusi Sekretariat Ekonomi Gig dan Kesatuan Sekerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, tindakan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan pekerjaan dalam industri minyak dan gas serta memberi kesan ekonomi kepada negara.

Ia juga katanya, boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan untuk mengurus ekonomi kerana perkara sedemikian pun tidak dapat dikendalikan dengan baik.

“Tindakan Petronas ini pasti mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat kerana Petronas merupakan syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia serta dunia.

“Pada tahun 2024, syarikat minyak dan gas Malaysia itu sekali lagi dinobatkan sebagai jenama minyak dan gas terkuat di dunia.

“Jadi, tindakan memberhentikan pekerja pastinya memberikan kesan yang tidak baik bukan sahaja kepada syarikat itu malah negara. Kita harap ini dikaji balik oleh Petronas dengan melaksanakan pelan yang lebih komprehensif demi keadilan dan kebajikan pekerjanya,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Petronas mengumumkan akan me­ngurangkan 10 peratus pekerja dengan anggaran 5,000 pekerja da­lam proses penstrukturan se­mu­la syarikat itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, walaupun pekerja terlibat dikatakan berjawatan kontrak, namun ramai daripada mereka sudah lama berkhidmat dan ada keluarga perlu disara.

“Pemberhentian mengejut tanpa peluang latihan atau sokongan untuk menjana pendapatan adalah suatu tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata, memetik kenyataan Profesor Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, pekerja adalah manusia dan ribuan mereka bukan sekadar angka tetapi rangkaian jiwa-jasad yang menanggung keluarga, unit sosial terpenting negara.

“Pekerja yang belum berkahwin, menyumbang kepada ibu bapa dan adik beradik, yang sudah berkahwin lebih-lebih lagilah komitmen mereka.

“Harus membayar hutang membeli (sewa) rumah dan kereta, hutang pengajian institusi pengajian tinggi (IPT). Jika mereka dibuang kerja dari institusi terkaya negara, ke mana akan mereka semua pergi?,” soalnya.

Menurutnya, masalah kewangan akan membawa kepada pelbagai kesan yang tidak baik kepada institusi keluarga dan sosial negara.

“Semua implikasi ini perlu difikirkan dan diutamakan sebelum Petronas membuat keputusan menghentikan kira-kira 5,000 pekerja syarikat minyak terkemuka dunia dan terkaya di Malaysia tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN