Perodua Bezza jatuh sungai: 'Masih terngiang suara isteri jerit abang, lambai tangan' - Utusan Malaysia

Perodua Bezza jatuh sungai: ‘Masih terngiang suara isteri jerit abang, lambai tangan’

ABDUL WAHID Randa menekup muka kerana tidak dapat menahan kesedihan sejurus melihat kereta miliknya dikeluarkan dari sungai yang menyebabkan isterinya dikhuatiri lemas selepas kereta itu terjunam dalam Sungai Triang di Bera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: “Masih terngiang-ngiang suara isteri memanggil saya. Dia jerit abang dan melambai tangan sebelum hilang. Saya panggil nama dia (sayang) tetapi tiada jawapan.”

Demikian kata suami kepada mangsa lemas, Abdul Wahid Randa, 32 yang tidak dapat menahan sedih akibat kejadian yang menimpa isterinya, semalam.

Keadaan bertambah pilu sejurus melihat kereta miliknya berjaya dinaikkan ke tebing dalam operasi mencari dan menyelamat isterinya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang semalam, isterinya, Sakirah Akop, 31 bersama bayi perempuan mereka yang berada dalam kereta jenis Perodua Bezza yang diparkir di sungai bergerak secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Bagaimanapun, mangsa sempat menyerahkan anak perempuannya itu kepada Abdul Wahid sebelum dihanyutkan arus deras sungai.

Menurut Abdul Wahid, dia berada di tebing sungai untuk memancing, dan terdengar isterinya menjerit dan melihat kereta miliknya tiba-tiba bergerak ke dalam sungai.

“Saya cuba menahan kereta dari jatuh tapi tak mampu. Saya pergi ke arah isteri, dia buka pintu sambil kaki menolak pintu dan sempat serah anak kepada saya.

“Saya bawa anak naik ke atas dan tinggalkan dia di atas. Tapi bila saya nak turun ke sungai untuk selamatkan isteri, anak mengekori saya. Pada masa itu, saya nampak isteri saya telah hanyut di bawa arus,” katanya di sini hari ini.

Kata Abdul Wahid, dia menjerit meminta tolong tetapi tiada sesiapa di kawasan sekitar dan berlari ke pasar ayam berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya lagi, memang ada penduduk datang namun mereka juga tidak boleh berbuat apa kerana keadaan air sungai yang deras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, kereta milik Abdul Wahid berjaya ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPdA) pada pukul 10.45 pagi.

“Operasi SAR dimulakan pada pukul 8.00 pagi tadi dan anggota PPdA berjaya menemukan kereta itu tidak jauh dari lokasi ia terjatuh. Dan kereta itu berjaya dinaikkan pada pukul 12.30 tengahari.

“Bagaimanapun, tiada jasad dalam kereta itu. Dan usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan dalam radius 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN