Penyanyi Sheqal selamat dikebumikan di Raub - Utusan Malaysia

Penyanyi Sheqal selamat dikebumikan di Raub

NORMAH Mohd. Yusoff menyiram air di pusara Allahyarham Sheqal di Tanah Perkuburan Islam Kemuning, Kampung Tanjung Putus di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Penyanyi terkenal era 1990-an, Sheqal, 60, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuning, Kampung Tanjung Putus, di sini kira-kira pukul 7.05 malam tadi, dalam suasana penuh pilu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Qariah Lechar pada pukul 5.50 petang dan disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 6.30 petang.

Allahyarham yang popular dengan lagu-lagu berkonsep balada nusantara menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, pada pukul 12.31 tengah hari ini.

Isterinya, Normah Mohd. Yusoff, 58, berkata, Allahyarham yang sebelum ini dimasukkan ke HTJ sejak 4 Jun lalu dan ditidurkan pada 6 Jun akibat komplikasi kesihatan.

Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin, meninggalkan seorang isteri dan empat orang cahaya mata iaitu dua anak lelaki, Putera Ammar dan Putera Al Kasyah hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Raja Ema, serta dua anak Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani, 20, daripada perkahwinan keduanya bersama Normah.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal serta rakan artis, Aming dari kumpulan Spring.

Sementara itu, Fadzli menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negeri Pahang dan negara kerana Sheqal membawa kelainan dalam dunia seni menerusi lagu-lagu berbahasa indah.

Jelasnya, selain bergiat dalam nyanyian, Sheqal juga aktif menulis buku dan syair keagamaan dan beberapa karya beliau menjadi koleksi peribadi miliknya.

“Arwah memperkenalkan lagu-lagu dengan lirik yang cukup meruntun jiwa. Saya sendiri amat terkesan kerana sebagai pencinta bahasa, karya-karyanya menyentuh perasaan.

“Kerajaan negeri juga tidak pernah melupakan jasa beliau. Dua kali bantuan kebajikan dari kerajaan Pahang disalurkan bagi menampung kos perubatan arwah,” tambahnya.

Rakan seperjuangan Allahyarham, Aming Spring turut meluahkan rasa kehilangan terhadap pemergian sahabat lamanya yang banyak mencipta kenangan bersama dalam program seni pada era 90-an.

“Saya banyak bersama arwah semasa awal kerjaya. Kami kerap muncul dalam program RTM dan dia antara insan yang banyak membantu saya ketika itu,” katanya sebak.

Aming turut berkongsi bahawa mereka sempat bertemu pada bulan Ramadan lalu dalam satu program berbuka puasa dan tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka.

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham Sheqal merakamkan empat album terkenal iaitu Balada Nusantara (1990), Pudar Yang Tersirat Pasrah (1991), Cahaya (1994) dan Lambaian (1998), dengan lagu popular seperti Cinta Nusantara, Zapin Rindu Rinduan, Kasih Tak Terhurai dan Ratib Anak Lautan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN