JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM1.7 juta lesap akibat terpedaya dengan pelaburan saham menerusi kumpulan WhatsApp yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa yang berusia 67 tahun dalam laporannya Khamis lalu memberitahu kejadian bermula apabila nombor telefonnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan saham pada April lalu.
“Pelaburan itu menjanjikan pulangan harian antara lima hingga 10 peratus, menyebabkan mangsa tertarik sehingga melakukan 12 transaksi ke lima akaun berbeza antara 16 April hingga 30 Mei lalu.
“Jumlah keseluruhan wang yang dilaburkan mangsa adalah RM1,772,603,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar berkata, setelah pelaburan tersebut dibuat, lelaki masih gagal mendapatkan sebarang keuntungan, sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan hampir RM500,000.
“Perkara itu menyebabkan mangsa curiga lalu membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat. – UTUSAN