KUANTAN: Seorang pekebun kecil di Bentong kerugian RM239,804 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan secara dalam talian tidak wujud dikenali sebagai “Best Bit”.
Mangsa berusia 37 tahun dilaporkan mula terpedaya selepas dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan pulangan lumayan sekiranya melabur menerusi pautan laman web https://web.bestbit.shop/mobile/home.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa membuat sebanyak 41 transaksi ke dalam 19 akaun bank berbeza antara 22 Mac hingga 16 Jun lalu.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang menerima laporan polis dari Daerah Bentong berkenaan mangsa mengalami kerugian setelah terpedaya dengan penipuan secara dalam talian.
“Keseluruhan jumlah kerugian dianggarkan RM239,804, melibatkan wang simpanan mangsa sendiri serta pinjaman daripada abangnya,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Yahaya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati tiada sebarang pulangan seperti yang dijanjikan oleh suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN