Pegawai penyelidik rugi lebih RM600,000 terjerat skim pelaburan saham tidak wujud - Utusan Malaysia

Pegawai penyelidik rugi lebih RM600,000 terjerat skim pelaburan saham tidak wujud

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pegawai penyelidik wanita kerugian RM600,500 selepas terpedaya skim pelaburan saham tidak wujud yang dijalankan melalui aplikasi WhatsApp dan aplikasi palsu di Rompin, dekat sini baru-baru ini.

Mangsa yang berusia 57 tahun itu dilaporkan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp, K81 Lombard Stock Investment Academy pada 21 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa diarahkan memuat turun aplikasi bernama LOARDMB melalui pautan yang diberikan oleh suspek kononnya untuk pelaburan.

“Pada peringkat awal, mangsa membuat tiga transaksi berjumlah RM14,000 dan berjaya membuat pengeluaran awal RM1,000, menyebabkan dia percaya pelaburan tersebut sah.

“Namun, dalam tempoh antara 23 April hingga 4 Jun lalu, mangsa membuat 28 transaksi secara dalam talian ke tiga akaun bank berbeza sehingga jumlah keseluruhan pelaburan mencecah RM600,500,” katanya kepada pemberita di sini.

Yahaya berkata, aplikasi palsu tersebut menunjukkan paparan keuntungan kononnya mencecah lebih RM300,000.

“Bagaimanapun, apabila mangsa cuba mengeluarkan wang berjumlah RM50,000, suspek meminta bayaran RM200,000 sebagai caj perkhidmatan, sebelum mangsa sedar ditipu.

“Difahamkan, keseluruhan wang yang dilaburkan adalah simpanan peribadi mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN