SUBANG: Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dilantik sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) ke-21, berkuat kuasa hari ini.
Muhamad Norazlan menggantikan Panglima Tentera Udara ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan yang menamatkan perkhidmatannya setelah empat dekat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Upacara Pemakaian Pangkat Jeneral kepada Muhammad Norazlan disempurnakan oleh isterinya serta Mohd. Asghar sambil disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Pada masa sama, turut berlangsungnya upacara Serah Terima Tugas dan Tonggak Kuasa Panglima Tentera Udara kepada Muhammad Norazlan.
Muhamad Norazlan, 58, yang merupakan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi pada 1985 hingga 1987.
Beliau kemudiannya memulakan latihan penerbangan di bawah TUDM pada 1988 di Alor Setar, Kedah.
Muhamad Norazlan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB3394, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi 30MKM sepanjang kerjayanya.
Sebelum ini beliau turut menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf P&P, Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara dan Panglima Operasi Udara sebelum menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara sejak 28 Jun 2022. – UTUSAN