Mangsa ke-4 kemalangan di LTU meninggal dunia - Utusan Malaysia

Mangsa ke-4 kemalangan di LTU meninggal dunia

SELEPAS Aqif Azfar Azman (depan, kiri), Zahra Zafira (depan, tengah) pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang kira-kira pukul 12.10 tengah hari tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Selepas seminggu bertarung nyawa, seorang lagi mangsa kemalangan tragis membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Chegar Perah, Jumaat lalu, disahkan meninggal dunia tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa, Zahra Zafira Azman, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira pukul 12.10 tengah hari akibat kecederaan otak traumatik teruk.

“Mangsa merupakan penumpang di bahagian tengah tempat duduk belakang. Dalam nahas itu, abang sulung Zahra, Aqif Azfar Azman, 6, dan saudara mereka, Roslawati Mat Daud, 50, maut di lokasi kejadian.

“Tiga hari kemudian, anak Roslawati, Puteri Nur Arisya Mohd Zilidham, 7, turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, Zahra antara lapan ahli keluarga yang menaiki kereta dari Klang, Selangor menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi menziarahi saudara mereka yang sedang uzur.

Ismail berkata, kereta dipandu lelaki berusia 45 tahun dipercayai gagal dikawal lalu merempuh belakang lori sarat muatan perabot yang berhenti di bahu jalan selepas pemandunya dikatakan mahu membuang air kecil.

Sementara itu, ibu saudara Zahra, Nurul Sahadar Che Nuh, 29, ketika dihubungi berkata, keluarga mereka reda dengan pemergian anak bongsu daripada tiga beradik itu dan menganggap ia sebagai ujian daripada Allah SWT.

“Doktor maklumkan Zahra alami kecederaan teruk di kepala dan pembedahan tidak dapat dilakukan kerana terlalu berisiko.

“Abang saya, Azman Che Nuh kini hanya tinggal seorang anak sahaja iaitu Zarif Zafran, 5. Dia dan isteri juga masih dirawat di Hospital Kuala Lipis kerana belum pulih sepenuhnya,” katanya sebak.

Tambah Nurul, jenazah Zahra sudah dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Karangan, Kuala Krai, Kelantan dan dikebumikan bersebelahan kubur abangnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN