LIPIS: “Anak saudara saya sempat minta maaf kepada ayahnya malam sebelum kejadian kerana merosakkan televisyen. Tidak sangka itu petanda dia pergi buat selamanya.”
Demikian kongsi Nurul Sahadar Che Nuh, 29, apabila mengenangkan anak saudaranya, Aqif Azfar Azman, 6, yang maut dalam kemalangan meragut dua nyawa di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Kampung Chegar Perah, dekat sini, kelmarin.
Selain Aqif Azfar yang merupakan anak sulung kepada abangnya, Azman Che Nuh, 47, seorang lagi maut ialah Roslawati Mat Daud, 50, iaitu sepupu mereka.
Menurut Nurul Sahadar, kereta yang dinaiki dua keluarga itu dari Klang, Selangor sedang dalam perjalanan pulang ke Kelantan untuk menziarahi emak saudara yang sedang sakit tenat, namun perjalanan penuh harapan itu bertukar menjadi detik paling memilukan dalam hidup mereka.
Katanya, dia menerima panggilan daripada abangnya itu yang memaklumkan tragedi berkenaan dan terus bergerak ke Lipis bersama ahli keluarga lain dari Kuala Lumpur.
“Abang cerita masa kejadian dia sedang tidur dan hanya tersedar hanya apabila kereta Proton Persona yang dinaiki terlibat dalam kemalangan.
“Abang sempat telefon maklumkan tangannya patah dan dada sakit tetapi dia sedar. Masa kami sampai, dia masih dalam keadaan terkejut dan trauma. Dia tidak sangka anak yang baru minta maaf sebab rosakkan TV, kini sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kuala Lipis di sini, semalam.
Nurul Sahadar turut berkongsi detik-detik sebelum tragedi apabila Azman yang juga abang keduanya pada awalnya memandu kenderaan tersebut dari Kuala Lumpur.
Namun katanya, sebaik sahaja tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Benta, mereka berhenti seketika untuk berehat sebelum suami kepada Roslawati mengambil alih tugas memandu.
“Hanya beberapa ketika selepas pertukaran pemandu itu, segalanya berubah dalam sekelip mata. Mereka terlanggar sebuah lori yang berhenti di bahu jalan.
“Kejadian ini juga menyebabkan seorang lagi anak saudara saya Zahra Zafira, 2, kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan,” katanya.
Menurutnya, ahli keluarga lain yang berada dalam kenderaan tersebut dilaporkan stabil, walaupun masih trauma.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, kenderaan yang dinaiki lapan sekeluarga tersebut dalam perjalanan dari Klang menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan bagi menziarahi emak saudara mereka yang sedang uzur.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal polis mendapati ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang membawa muatan perabot dari Melaka ke Ketereh, Kelantan berhenti di susur jalan kerana pemandunya mahu membuang air kecil.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berusia 45 tahun itu hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang lori tersebut. Kanak-kanak lelaki berkenaan yang maut dipercayai berada di pangkuan bapanya di tempat duduk penumpang hadapan ketika pelanggaran berlaku,” katanya.
Katanya, akibat hentaman kuat, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan lima lagi ahli keluarga cedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis. – UTUSAN










