KOTA BHARU: Lima tahanan kes dadah mengaku bersalah atas pertuduhan melarikan diri dari tahanan di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Pasir Mas dekat sini dan memecah rumah penduduk pada minggu lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Mohd. Safiuddin Hanif Mohd. Shargawi, 38, Muhamad Norshamzee Mohd. Noresan (32), Mohamad Akmal Mohd. Zahari (31), Mohd. Haris Zakaria (37) dan Muhammad Alif Izham Hussim (23) membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Rais Imran Hamid selepas pertuduhan selesai dibaca.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa melarikan diri daripada tahanan yang sah di sini undang-undang di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Pasir Mas pada 22 Jun lalu kira-kira pukul 10.20 pagi.
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kelima-lima tertuduh turut didakwa bersama-sama melakukan pecah rumah dengan niat untuk mencuri sebuah telefon bimbit jenis Oppo A15 milik seorang wanita berusia 46 tahun.
Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di Kampung Kubang Bongor, Lemal di Pasir Mas dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Mohd. Safiuddin Hanif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, Sarjan Mohd. Zaidi Muda, 48, yang sedang sedang menjalankan tugas dengan cara memaut lehernya.
Tertuduh yang sepatutnya dituduh atas pertuduhan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran di Mahkamah Sesyen Pasir Mas itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas kira-kira pukul 10.20 pagi pada 22 Jun lalu.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Amira Mat.
Terdahulu, Syazalia tidak mencadangkan jaminan berikutan Mohd. Safiuddin Hanif, Muhamad Norshamzee, Mohd. Haris dan Muhammad Alif Izham mempunyai pertuduhan melibatkan kes dadah di Mahkamah Pasir Mas.
“Selain itu, tertuduh ketiga iaitu Mohamad Akmal mempunyai rekod lampau melarikan dari lokap sebelum ini,” katanya.
Nur Amira dalam rayuannya memohon satu jaminan yang minimum untuk kelima-lima tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selain menetapkan 13 Ogos depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN