JERANTUT: “Semuanya anak saya adalah tempat saya berbincang, susah senang kami bincang bersama, kini semua empat anak saya pergi serentak buat selama-lamanya” kata Aziz Jaafar, 50, bapa empat beradik termasuk menantu yang maut dalam kemalangan di kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran di sini tengah malam tadi.
Aziz berkata, keempat-empat orang anaknya bersama menantu beria-ria dan teruja untuk pergi beraya ke rumah emak saudaranya di Kampung Paya Gunung di sini malah ia pertama kali mereka menjejakkan kaki ke kampung tersebut.
“Mereka memang suka bergurau dan berseloroh semasa sendiri, sehari sebelum bertolak, mereka sempat membeli makanan ringan di kedai dua ringgit, konon sebab nak berjalan jauh dan bimbang lapar.
“Sebelum kejadian, saya sempat menerima video terakhir daripada anak ketiga yang menunjukkan dia muntah akibat mengikut jalan yang bengkang-bengkok, kami turut tergelak tengok video itu, tak sangka itu video terakhir… lepas tu terus senyap,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jerantut sebelum bersama jenazah berlepas ke Bota, Perak.
Menurut Aziz, dia mula risau apabila panggilan telefon kepada anak kedua, ketiga dan keempat tidak dijawab sejak pukul 11 malam.
“Jangkaan saya mereka sepatutnya tiba di Jerantut sekitar pukul 2 pagi, setelah bertolak dari rumah di Bota pada pukul 5 petang.
“Sejak tidak dapat menghubungi, saya cuba hubungi mereka beberapa kali tapi tiada jawapan, mula rasa tak sedap hati,” katanya.
Aziz kemudiannya dimaklumkan tentang kejadian kemalangan membabitkan anak dan menantunya oleh kakak iparnya yang tiba awal di Kampung Paya Gunung.
“Mereka beritahu anak dan menantunya terlibat kemalangan, kemudian kira-kira setengah jam kemudian, barulah mereka maklum semua sudah tiada (meninggal dunia).
“Kehilangan serentak empat orang anak yang juga menantu, tempat berkongsi suka dan duka dan merupakan satu episod yang sangat memilukan buat saya dan keluarga, namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad mengesahkan kejadian kemalangan itu membabitkan kereta Perodua Bezza dengan Toyota Alphard di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran pada pukul 12.40 tengah malam.
Dalam kejadian menyayat hati itu, mangsa yang maut, Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23; serta tiga adik beradik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli ,21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17. – UTUSAN