Laporan siasatan insiden Putra Heights didedah Isnin ini

Laporan siasatan insiden Putra Heights didedah Isnin ini

Laporan Putra Heights
KEBAKARAN saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Laporan siasatan dan teknikal insiden berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang akan diumum pada Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan secara bertulis hasil siasatan tersebut akan dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya didedahkan kepada umum bermula Isnin ini.

“Pelaporan secara bertulis sudah pun siap semalam (kelmarin), cuma masa agak terhad (bagi pendedahan) kerana cuti Awal Muharram. Saya dimaklumkan oleh jawatankuasa siasatan dan akan membentangkannya pada Isnin ini.

“Insya-Allah kita akan jadikan ia public (terbitan awam) selepas dibentangkan kepada Kabinet. Memang begitu janjinya, kita laksanakan ikut proses. Kita akan bentangkan kedua-dua aspek iaitu jenayah dan juga teknikal,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan siasatan teknikal yang diketuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dijangka dapat dilengkapkan pada 26 Jun lalu.

Kajian itu meneliti pelbagai faktor termasuk keutuhan paip, pergerakan tanah dan kemungkinan aktiviti luar yang memberi tekanan kepada sistem bawah tanah.

Polis sebelum ini mengesahkan selesai melengkapkan siasatan berhubung insiden itu termasuk melibatkan unsur kecuaian atau khianat.

Insiden letupan pada 1 April lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN