ARAU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Kebudayaan negeri, Abu Bakar Hamzah mengadakan lawatan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini sebagai salah usaha mengeratkan kerjasama antara institusi pendidikan khusus dalam sektor pelancongan.
Ia juga sebagai persediaan selain melihat peluang kerjasama antara kerajaan negeri dan PTSS dalam merancakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) yang dilanjutkan hingga tahun depan.
Hadir sama dalam perjumpaan tersebut, Pengarah PTSS, Ts. Khairul Anuar Ishak dan Penasihat Industri Diploma Pengurusan Acara PTSS, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman yang juga wakil penasihat industri institusi tersebut.
Sebagai rekod, PTSS memiliki kepakaran akademik dalam bidang pelancongan dan hospitaliti termasuk pengurusan acara serta hotel dan resort yang dilihat mampu menyumbang secara signifikan terhadap pembangunan sektor pelancongan negeri.
Para pensyarah serta pelajar dengan sokongan dan bimbingan penasihat industri boleh berperanan serta bersama membantu kerajaan negeri daripada pelbagai sudut seperti meningkatkan produktiviti, kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelancongan.
Ku Hasrin berkata, pelbagai langkah strategik sedang dirangka melalui kerjasama erat antara sektor pendidikan, industri dan kerajaan negeri untuk menjadikan Perlis destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Katanya, antara lain keperluan daripada sudut merancakan sektor pelancongan baharu serta membantu mengkomersialkan produk-produk dan perkhidmatan dalam kalangan pelajar mengikut standard industri.
“Ia sedikit sebanyak juga boleh membantu kebolehpasaran para graduan lepasan diploma PTSS mendapat mendapat tempat dalam industri yang sepatutnya melalui pengalaman yang diperolehi itu,” katanya yang juga berperanan membantu menghubungkan kerjasama PTTS dengan kerajaan negeri.-UTUSAN