Kelantan WTS FC sasar empat terbaik Liga A1 Semi Pro

Kelantan WTS FC sasar empat terbaik Liga A1 Semi Pro

WAN Muhd Ridhuan Wan Abdullah (kiri) semasa Majlis Penajaan (Kelantan WTS FC & Nara United) dan Perluasan Empayar PUC Sprot Thailand, di Kota Bharu, Kelantan semalam.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Wan Tendong Stable (Kelantan WTS FC) menetapkan matlamat untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026 ini.

Pemiliknya, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah berkata, pasukan yang layak secara automatik ke liga devisyen dua negara itu yakin mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain termasuk nama-nama besar seperti Johor Darul Taazim II dan FC Seol Phoenix dari Korea Selatan.

“Mungkin keberadaan JDT II dan FC Seol Phoenix dalam Liga A1 Semi Pro bakal memberi cabaran besar buat Kelantan WTS tetapi dengan barisan pemain yang ada, kami yakin mampu bersaing. Dijangka JDT II dan Selangor FC II bakal menjadi lawan paling kuat buat pasukan ini.

“Persiapan pasukan sudah mencapai tahap 90 peratus. Namun kita dikecualikan daripada pengambilan pemain import dan akan menggunakan khidmat anak jati Kelantan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penajaan (Kelantan WTS FC & Nara United) dan Perluasan Empayar PUC Sprot Thailand, di sini malam ini.

Wan Muhd Ridhuan memberitahu, pihaknya turut membariskan pemain-pemain berpengalaman di pentas Liga Super sebagai persediaan Kelantan WTS FC mendepani cabaran dalam Liga A1 Semi Pro nanti.

Katanya, antara nama-nama besar yang disenaraikan adalah Wan Zaharulnizam Zakaria, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi, Khairul Izwan Rosli serta beberapa orang lagi pemain berpengalaman.

“Saya minta semua penyokong bersatu dan memberikan sokongan padu kepada semua pasukan yang mewakili negeri ini, iaitu Kelantan WTS serta Kelantan Red Warriors (KRW) dalam Liga A1 Semi Pro dan juga Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang bermain di pentas Liga Super,” ujarnya.

Tambahnya, Kelantan FC membariskan 10 penaja bagi menampung kos operasi dan perbelanjaan pasukan sepanjang bermain di Liga A1 Semi Pro yang disasarkan tidak melebihi RM1 juta.

“Kita akan cuba berjimat dalam perbelanjaan termasuk melaksanakan penstrukturan gaji tetap dengan had tertentu kepada semua pemain tanpa mengira mereka ada nama besar atau tidak. Bermakna pemain dibayar gaji bulanan tetap cuma ditambah dengan bonus dalam perlawanan tertentu,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN