KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung atau membatalkan lesen syarikat pengendali kenderaan perdagangan di negara ini yang gagal audit melalui Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (Jisa).
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hasil pengauditan yang dijalankan selama empat hari bermula 23 Jun lalu mendapati 85 daripada 133 syarikat telah gagal.
Menurutnya, kesemua kesalahan itu melibatkan perkara-perkara mandatori Jisa seperti tidak melantik pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta gagal memasang Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada semua kenderaan.
“Selain itu, syarikat tidak membuat pemantauan GPS, syarat pemanduan tidak melebihi lapan jam dalam sehari tidak direkod serta syarat rehat pemandu 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan tidak direkod turut menjadi antara kesalahan mandatori Jisa.
“Tidak menyediakan plan tindakan keselamatan dan tidak menyediakan nombor ‘hotline’ dan nama pegawai syarikat pada kenderaan bagi tujuan aduan antara kesalahan lain yang dikesan, katanya kepada pemberita pada perhimpunan setia JPJ di Dewan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Aedy Fadli memberitahu, Op Khas Jisa itu melibatkan lori dan bas ekspres serta persiaran.
“Hasil pemeriksaan ke atas 70 buah lori kita dapati hanya 27 sahaja yang lulus. Bas ekspres dan persiaran pula 28 sahaja yang lulus daripada jumlah keseluruhan 63.
“JPJ tidak akan berkompromi dan terus mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan-peraturan atau mengabaikan aspek keselamatan,” ujarnya.
Aedy Fadli berkata, langkah ini merupakan usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya seterusnya memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara.
Media sebelum ini melaporkan, JPJ mengesahkan 50 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) yang berisiko tinggi selesai menjalani audit semalam.
Ssebahagian daripada 500 syarikat yang dikenal pasti pihaknya untuk menjalani proses audit melalui penguatkuasaan Op Khas Jisa seluruh negara.-UTUSAN