Jerantut Square nadi baharu ekonomi, sosial Jerantut

Jerantut Square nadi baharu ekonomi, sosial Jerantut

JASON Tee menunjukkan lokasi dan pelan perancangan pembinaan Jerantut Square di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sebuah pusat ko­mersial moden berskala besar, Jerantut Square yang kini sedang dalam pembinaan di kawasan seluas 8.9 hektar bermula Mac lalu, dijangka menjadi nadi baharu ekonomi dan sosial daerah ini apabila siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2026.

Dengan pelaburan mencecah RM130 juta, projek pembangunan komersial berimpak tinggi itu bakal menawarkan nilai pelaburan yang signifikan menerusi gabungan strategik pusat membeli-belah, sukan, rekreasi dan pusat sehenti buat pendu­duk menjalankan urusan harian sepertimana Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Projek ini menampilkan kom­ponen utama seperti hyper­market, pusat boling dan pusat sukan yang berfungsi sebagai pemangkin utama dalam me­rangsang ekonomi tempatan serta menarik lebih ramai pe­ngunjung dan pelabur.

Jerantut Square juga bakal memberikan impak besar kepada sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan dengan kemudahan moden dan daya tarikan komersialnya sekali gus mencapai 200,000 kehadiran pelancong setahun.

Pengarah Urusan Syarikat Pem­­binaan Jaya Depan Sdn. Bhd. (Jaya Depan), Jason Tee ber­kata, keunikan Jerantut Square bukan sahaja terletak pada kepelbagaian perniagaan, malah turut memperkukuh ekosistem perdagangan dan gaya hidup moden penduduk setempat.

“Inisiatif pembangunan ini turut mengambil kira aspek kemapanan dengan penyedia­an panel solar, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), serta ciri-ciri mesra alam yang sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Lokasi strategik dan rang­kaian kemudahan lengkap menjadikan Jerantut Square pusat komersial paling menarik di da­erah ini, dengan potensi besar untuk pelaburan jangka panjang.

“Projek ini dijangka meran­cakkan lagi pertumbuhan eko­nomi setempat, mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu, serta menjadi daya tarikan utama dalam pembangunan bandar Jerantut dan sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan,” katanya di sini.

Jason berkata, Jerantut Squ­are juga bakal menempatkan pel­bagai jenis premis komersial seperti bank, bilik pameran kenderaan, restoran makanan segera dan kedai runcit.

“Ia direka khas sebagai pusat sehenti atau one stop centre yang bukan sahaja memudahkan urusan hari­an, ma­lah menjadi tarikan gaya hi­dup untuk segenap lapisan ma­­syarakat.

“Salah satu tarikan utama ialah Jerantut Square Central Walk, laluan pejalan kaki yang menghubungkan pelbagai pre­mis dengan suasana membeli-belah serta taman riadah untuk kanak-kanak dan tempat bersantai untuk seisi keluarga. Lebih 700 unit tempat letak kenderaan disediakan bagi keselesaan pengunjung.

“Lokasi projek yang strategik berhampiran Masjid Tengku Mahkota Abdullah, stesen minyak Petron, sekolah-sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah dijangka meningkatkan lagi nilai hartanah di kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelbagai jenis perniagaan dan kemudahan yang bakal beroperasi, projek ini berpotensi mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang peruncitan, perkhidmatan, perbankan, kejuruteraan, pengurusan hartanah, serta sektor makanan dan minuman.

“Dengan kewujudan pusat beli-belah, restoran, serta taman riadah, Jerantut Square boleh menjadi destinasi tumpuan bukan sahaja bagi penduduk tempatan tetapi juga bagi pengunjung dari luar kawasan. Ini membuka peluang kepada sektor pelancongan dan hospitaliti.

“Keseluruhannya, projek ini berpotensi mengubah landskap ekonomi Jerantut dengan membawa masuk pelaburan, pekerjaan, pelancong serta peluang perniagaan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN