Inisiatif Arkib@Sekolah, Komuniti perkukuh jati diri dan kenegaraan - Utusan Malaysia

Inisiatif Arkib@Sekolah, Komuniti perkukuh jati diri dan kenegaraan

AARON Ago Dagang melancarkan inisiatif Arkib Komuniti.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan negara melalui Arkib Negara telah melancarkan dua inisiatif berimpak tinggi iaitu Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti.

Dua insiatif itu bertujuan mendekatkan sejarah kepada masyarakat serta memupuk kesedaran sejarah, semangat patriotisme dan penghargaan terhadap warisan negara dari peringkat akar umbi hingga ke generasi muda.

Ia juga sejajar dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh jati diri dan kenegaraan rakyat Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif Arkib@Sekolah yang bertemakan ‘bermulanya di sini’ merupakan sebahagian daripada program arkib pendidikan yang membawa bahan-bahan arkib asli termasuk dokumen, gambar dan artifak sejarah terus ke persekitaran sekolah.

Katanya, matlamat Arkib@Sekolah adalah untuk memupuk kesedaran sejarah yang mendalam, memperkukuhkan identiti kebangsaan dan menanam semangat cinta negara dalam kalangan murid dan pelajar.

“Melalui pameran seperti ‘Malaysia, Tanah Airku’ pelajar didedahkan kepada detik-detik penting sejarah negara serta tokoh-tokoh kemerdekaan. Aktiviti sampingan seperti kuiz sejarah, bengkel pemuliharaan bahan arkib, teka silang kata dan sesi interaktif seperti ‘Kenali Wira Kemerdekaan’ menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan, bermakna dan relevan.

“Pelajar juga digalakkan untuk meneroka, menganalisis dan menghasilkan projek berasaskan sumber arkib yang asli iaitu satu pendekatan yang tidak hanya memperkukuh pemahaman sejarah tetapi juga mengasah pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan berfikir secara analitik,” katanya di sini hari ini.

Inisiatif Arkib Komuniti pula memberi ruang kepada masyarakat untuk mengurus, mendokumentasi dan memelihara warisan sejarah serta budaya tempatan mereka secara sukarela dan tersusun.

Ia diperkenalkan oleh Aaron Ago semasa pelancaran program wacana ilmu di Melaka pada 20 Februari 2024 yang bersempena dengan pengisytiharan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1956.

Aaron Ago berkata, Arkib Komuniti mengiktiraf bahawa sebahagian besar sejarah negara khususnya naratif tempatan, tradisi lisan, adat resam dan pengalaman komuniti masih belum didokumentasikan secara rasmi.

“Melalui program ini, individu dan kumpulan komuniti digalakkan untuk membangunkan arkib mereka sendiri bagi merakam kisah, pengalaman dan warisan yang mencerminkan identiti unik sesuatu masyarakat. Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkukuh hubungan antara rakyat dengan sejarah dan warisan negara.

“Dengan mendekatkan arkib kepada rakyat sama ada di sekolah mahupun di kampung Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti menjadi pemangkin kepada generasi yang lebih berpengetahuan, berjati diri dan bertanggungjawab terhadap masa depan Malaysia yang bersatu dan berdaulat.

“Pelaksanaan kedua-dua inisiatif ini juga selari dengan gagasan Malaysia Madani khususnya dalam dimensi nilai, keterangkuman dan kesejahteraan. Melalui pendekatan yang menekankan akses kepada ilmu, penglibatan komuniti dan pemeliharaan warisan bersama, Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti menyumbang secara langsung kepada pembentukan masyarakat yang berpengetahuan, berbudaya dan berintegriti tinggi.

“Ia turut mengangkat prinsip Madani dalam membina rakyat yang berakar pada sejarah, bersatu dalam kepelbagaian dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN