Individu buat laporan polis, dakwa tanah STR diceroboh, tujuh tan metrik hasil kelapa sawit dicuri - Utusan Malaysia

Individu buat laporan polis, dakwa tanah STR diceroboh, tujuh tan metrik hasil kelapa sawit dicuri

NORADLY Othman membuat laporan polis mendakwa tanah Skim Tanah Rakyat (STR) miliknya di Sungai Padi, Mukim Hulu Kuantan di Sungai Lembing di Kuantan, Pahang diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang individu membuat laporan polis selepas mendakwa tanah Skim Tanah Rakyat (STR) miliknya di Sungai Padi, Mukim Hulu Kuantan di Sungai Lembing di sini diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Sungai Lembing di sini selepas mendakwa tanah miliknya diceroboh dan tujuh tan metrik hasil sawit dicuri.

Pemilik tanah, Noradly Othman mendakwa, pada 13 Jun lalu, kira-kira pukul 4.30 petang, dia masuk ke ladang sawit miliknya dan mendapati beberapa individu tidak dikenali sedang menceroboh tanah STR tersebut.

Dakwanya, dia mendapati individu terbabit sedang memunggah hasil kelapa sawit dipercayai dicuri dari tanah miliknya ke dalam sebuah lori.

“Saya menahan mereka dan menghubungi pihak polis Sungai Lembing untuk hadir ke tempat kejadian. Pihak polis menahan mereka kerana menceroboh tanah orang lain secara haram.

“Ia kesalahan di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 447 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan ataupun denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Anggaran buah kelapa sawit yang dicuri adalah sejumlah tujuh tan metrik,” dakwanya.

Jelasnya, dia bertindak membuat laporan polis tersebut agar tindakan tegas diambil pihak berkuasa supaya perkara sedemikian tidak berulang.

Selain itu, dakwanya, peserta STR percaya tindakan pencerobohan dilakukan sebuah koperasi yang bertindak melantik kontraktor untuk menanam sawit di tanah milik mereka di mukim tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN