JERANTUT: Sebanyak 45 ekor lembu dikorbankan sempena Aidiladha di Felda Jengka 24 tahun ini, mencerminkan semangat pengorbanan dan kebersamaan luar biasa dalam kalangan peneroka serta anak-anak perantau yang pulang meraikan hari mulia bersama keluarga
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, berkata, jumlah tersebut merupakan antara yang tertinggi pernah direkodkan di tanah rancangan itu, hasil penyertaan aktif masyarakat setempat yang tidak lokek berkongsi rezeki.
Menurut beliau, kemeriahan tahun ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan peneroka apabila hasil buah tandan segar (BTS) sawit kembali meningkat selepas melalui musim melawas dari Januari hingga April lalu.
Katanya, harga BTS yang kini sekitar RM900 satu tan metrik memberi sedikit kelegaan kepada para peneroka, sekali gus membolehkan mereka menunaikan ibadah korban dengan lebih selesa tanpa mengabaikan keperluan harian.
“Matlamat ibadah korban bukan sekadar menyembelih haiwan, tetapi menyuburkan nilai kasih sayang sesama jiran, berkongsi rezeki dan mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.
“Kepulangan anak-anak perantau bukan sahaja menyemarakkan suasana kampung, malah memudahkan urusan sembelihan, lapahan serta pengagihan daging korban kepada seluruh penduduk secara sistematik,” ujarnya ketika ditemui di tapak penyembelihan.
Majlis korban tahun ini turut diserikan dengan tahlil perdana selepas solat sunat Aidiladha, diikuti dengan pelancaran tabung derma pembinaan pejabat baharu masjid, yang kini memasuki fasa kutipan dana awal.
Sebagai inisiatif mendepani era digital, pihak masjid turut menyediakan kod QR bagi memudahkan para jemaah dan penyumbang luar kawasan menyalurkan sumbangan secara atas talian, termasuk dari kalangan anak perantau.
“Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai, bukan sahaja warga Felda Jengka 24 tetapi juga dari luar yang ingin bersama-sama menjayakan pembinaan pejabat masjid ini,” kata Razak. – UTUSAN