Dua permata litar dunia: Hakim Danish, Qabil Irfan perlu diberi tajaan penuh kerajaan - Zuhairi - Utusan Malaysia

Dua permata litar dunia: Hakim Danish, Qabil Irfan perlu diberi tajaan penuh kerajaan – Zuhairi

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua permata sukan permotoran negara, Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan perlu diberikan tajaan dan sokongan penuh oleh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membantu mereka meneruskan kerjaya di peringkat antarabangsa.

Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, beliau difahamkan, dua pelumba muda negara itu banyak menggunakan perbelanjaan sendiri demi mengembangkan kerjaya dalam sukan tersebut.

Jadi katanya, apa salahnya dua permata MotoGP itu diberikan tajaan dan sokongan sepenuhnya oleh kerajaan dan KBS bagi membolehkan mereka mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi.

“Umum mengetahui, kos penyertaan dalam kejohanan antarabangsa, latihan intensif serta keperluan logistik memerlukan penajaan yang lebih mapan dan konsisten.

“Diharapkan, selain tajaan oleh syarikat swasta atau korporat, dua atlet muda negara yang memiliki bakat luar biasa itu disokong penuh oleh kerajaan agar potensi sehebat ini terbazir begitu sahaja,” katanya di sini hari ini.

Malaysia terus bersinar di persada permotoran dunia menerusi anak jati Terengganu, Hakim Danish, 17, dan Qabil Irfan, 13 yang masing-masing mencipta sejarah tersendiri di Eropah.

Hakim Danish kini mendahului carta keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 dengan 148 mata selepas lapan perlumbaan. Terbaharu, pelumba muda itu muncul naib juara di Litar Mugello, Itali, hanya dipisahkan 0.011 saat daripada pemenang, Veda Pratama dari Indonesia.

Sebelum itu, Hakim Danish menamatkan badi tempat kedua dengan memperoleh kemenangan bergaya di Aragon, Sepanyol.

Sementara itu, Qabil Irfan turut mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila menjuarai Perlumbaan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 yang berlangsung di Litar Barcelona-Catalunya.

Sebelum ini, Qabil Irfan sudah meraih dua kemenangan berturut-turut di Jerez, Sepanyol pada April lalu, selain menamatkan Perlumbaan 1 di Catalunya di kedudukan tempat kedua.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, kejayaan dua pelumba muda berbakat itu bukan sahaja membanggakan negara, malah menjadi inspirasi kepada generasi baharu dalam sukan permotoran.

“Dengan semangat juang tinggi dan sokongan padu, Malaysia mungkin bakal menyaksikan bendera Jalur Gemilang berkibar megah di podium MotoGP dan kejuaraan dunia suatu hari nanti.

“Jadi, sokongan semua pihak khususnya kerajaan begitu diperlukan. Ini bukan hanya soal sukan. Ia soal masa depan anak bangsa,” katanya yang turut memaklumkan akan melantik dua pelumba muda negara itu sebagai Ahli Kehormat Daz Bikers Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN