LIPIS: Hasrat lapan individu daripada dua buah keluarga dari Klang, Selangor untuk menziarahi ibu saudara mereka yang sakit di Kota Bharu, Kelantan, berakhir tragedi.
Ia selepas dua orang daripada mereka maut apabila kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori dalam nahas di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), dekat Kampung Chegar Perah, di sini, semalam.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira puku 5.30 pagi ialah Roslawati Mat Daud, 50, isteri kepada pemandu kereta serta Aqif Azfar Azman, 6, anak kepada lelaki yang duduk di bahagian penumpang hadapan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kenderaan jenis Proton Persona dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan bagi menziarahi ibu saudara mereka yang uzur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang membawa muatan perabot dari Melaka ke Ketereh, Kelantan berhenti di susur jalan kerana pemandunya mahu membuang air kecil.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berusia 45 tahun itu hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang lori tersebut,” katanya di sini semalam.
Menurut Ismail, kanak-kanak lelaki berkenaan yang maut dipercayai berada di pangkuan bapanya di tempat duduk penumpang hadapan ketika pelanggaran berlaku.
Akibat hentaman kuat, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.-UTUSAN.










