IPOH: Perjalanan kembali ke kampus 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi cedera.
Dua mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, empat di Hospital Baling, Kedah manakala mangsa lain di Hospital Gerik.
Seorang mangsa, Farhana Ab. Aziz, 23, memberitahu sebelum tiba di lokasi kejadian, bas tersebut dipandu laju dan terhuyung-hayang sebelum terbalik.
Katanya yang turut cedera, dia terdengar bunyi bising dari arah tempat pemandu dan melihat lelaki itu seperti sedang marah tetapi tidak tahu pada siapa.
“Beberapa penumpang yang tidak tidur ada menjenguk untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum bas tersebut bergerak dalam keadaan terhuyung-hayang.
“Selepas kejadian, masa itu saya cepat-cepat bangun untuk keluar, saya takut terpijak kawan-kawan lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Gerik di sini semalam.
Sementara itu, Rohadatul Aisy Mohd. Zaki, 20, berkata, kejadian berlaku sekelip mata sebaik sahaja dia dikejutkan oleh rakan yang memberitahu bas tersebut dipandu laju.
Katanya, dia yang tercampak di laluan tengah bas cuba untuk keluar menyelamatkan diri namun sukar ekoran keadaannya yang tidak mampu bergerak.
“Kawan cuba tarik tetapi saya tidak boleh bergerak. Hanya setelah beberapa ketika saya gagahkan diri untuk keluar daripada bas,” katanya yang merupakan pelajar tahun satu jurusan pendidikan bahasa Arab.
Dalam pada itu, Nurul Yusrina Yusof, 23, pelajar tahun satu jurusan Pendidikan Teknologi Maklumat berkata, jeritan rakan-rakan meminta tolong kedengaran sebaik sahaja bas dinaiki terbabas.
“Ketika itu saya dan rakan-rakan keluar untuk menyelamatkan diri. Beberapa orang awam juga ada membantu membawa keluar yang lain,” katanya yang patah tulang bahu dan luka di badan.
Nahas ngeri itu berlaku tidak sampai sebulan selepas nahas yang menyebabkan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada bas persiaran dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Menurutnya siasatan awal mendapati kenderaan membawa 42 pelajar itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Katanya, MPV tersebut pula dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak berusia enam dan tiga tahun yang dalam perjalanan pulang ke Baling.
“Apabila tiba di tempat kejadian, bas yang disewa khas pelajar UPSI untuk pulang ke Tanjung Malim itu telah melanggar belakang Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
“Kemalangan itu mengakibatkan 15 pelajar maut manakala 27 pelajar lain cedera. Turut cedera dalam kejadian itu ialah pemandu bas dan pemandu kedua,” katanya.
Menurut beliau, bas persiaran itu memulakan perjalanan dari Jerteh pada pukul 9 malam, semalam dan dijangka tiba di Tanjung Malim pada awal pagi ini.
Katanya, kesemua pelajar UPSI yang menaiki kenderaan itu berusia antara 21 hingga 23 tahun.
“Mayat 13 pelajar UPSI yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat manakala mayat dua lagi mangsa menjalani proses sama di Hospital Gerik.
“Mangsa lain yang cedera termasuk pemandu dan penumpang Perodua Alza dirujuk ke dua buah hospital di Perak dan Kedah,” katanya.
Tambah beliau, rakaman percakapan pemandu kedua-dua kenderaan juga belum diambil berikutan mereka masih mendapatkan rawatan di hospital.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata, bas tersebut merupakan bas yang disewa oleh para pelajar sendiri untuk balik ke UPSI selepas cuti Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing.
Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan penyiasat teknikal bagi menyiasat kemalangan tersebut.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Pasukan khas teknikal itu akan membantu pegawai penyiasat saya dalam menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita dakwa pemandu tersebut ke mahkamah.
“Turut menganggotai pasukan petugas khas berkenaan ialah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya negeri dan Pasukan Gerakan Udara (PGU),” ujarnya..
Tinjauan turut mendapati ketupat, rendang dan baju raya milik mangsa antara barangan yang berselerak di lokasi kemalangan.
Malah ada barangan di dalam bas tersebut kelihatan dilumuri darah mangsa dan besi penghadang jalan menembusi ke dalam bas daripada bahagian tepi bas yang terbalik.
Lokasi kemalangan ini juga terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan anak gajah yang mati dilanggar pada bulan lalu yang mencuri tumpuan negara. – UTUSAN










