PETALING JAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan memikul tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keputusan itu kepada Kabinet semasa mesyuarat pada 25 Jun lalu.
Beliau berkata, keputusan tersebut juga dipersetujui Jemaah Menteri.
“Perdana Menteri memaklumkan Kabinet pada mesyuaratnya pada 25 Jun lalu bahawa beliau telah bersetuju supaya Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memikul tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
“Tugas utama beliau adalah mengolah dan merombak semula intipati naskah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai ini, dengan mengambil kira maklumat tambahan dikemukakan kementerian serta pandangan dan ulasan diberikan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amir Hamzah yang juga Senator, mula memegang jawatan Menteri Kewangan II pada Disember 2023.
Kekosongan jawatan Menteri Ekonomi susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas kalah pemilihan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Rafizi dilaporkan berkata, beliau menyelesaikan RMK-13 sebelum meletak jawatan, yang disifatkannya tanggungjawab terakhirnya sebagai menteri ekonomi.
Katanya, dokumen itu didraf bagi memberi penekanan lebih kepada reformasi menyeluruh, termasuk membabitkan Kementerian Pendidikan.
Anwar sebelum ini berkata, RMK-13 akan menjadi dokumen dasar utama yang menggariskan usaha negara menangani pelbagai cabaran ekonomi, termasuk pembangunan dan jurang pendapatan.
Beliau berkata, cabaran yang memerlukan perhatian segera termasuk pembangunan dan ketidaksamaan pendapatan, ruang fiskal yang terhad, dan kadar peralihan ekonomi struktur yang perlahan. – UTUSAN










