Aerotrain KLIA beroperasi semula 1 Julai ini

Aerotrain KLIA beroperasi semula 1 Julai ini

AEROTRAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan beroperasi semula 1 Julai selepas melalui beberapa siri kelewatan operasi sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan perkara itu selepas meninjau perkhidmatan berkenaan bersama pengamal media di sini, semalam.

Anthony Loke berkata, projek Aerotrain itu siap dilaksanakan, malah telah melalui pelbagai percubaan bagi memastikan keselamatan perkhidmatan.

“Aerotrain ini akan menjalani beberapa percubaan dan ujian terakhir dalam masa beberapa hari ini termasuk pelan tindakan balas kecemasan.

“Perkhidmatan ini adalah satu projek yang penting bagi memastikan imej KLIA akan terus meningkat. Kita tahu bahawa dalam tempoh lebih setahun ini pengunjung dan pengguna KLIA terpaksa menggunakan bas pengantara untuk ke bangunan satelit,” katanya.

Katanya, bagi fasa awal perkhidmatan itu, beliau te­lah meminta Malaysia Airport Holdings Bhd. (Malaysia Airports) supaya memastikan ada kesinambungan operasi dan pelan mitigasi yang baik.

Anthony Loke berkata, bagi setiap perjalanan, tiga gerabak akan beroperasi serentak bagi perjalanan sehala dengan kapasiti 270 penumpang.

“Perkhidmatan ini bergerak secara seli. Secara keseluruhan, kita ada tiga set gerabak di mana dua set akan beroperasi manakala, satu set lagi berada dalam status berjaga-jaga,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, buat masa ini, perkhidmatan bas pengantara akan dikekalkan sehingga perkhidmatan Aerotrain itu berjalan dengan lancar.

“Sehingga semuanya berjalan dengan lancar dan jika tidak stabil, pengurusan akan memutuskan sama ada untuk teruskan atau tidak dengan perkhid­matan bas ini,” katanya.

Ditanya punca kelewatan operasi Aerotrain sebelum ini, Loke berkata, kelewatan dan penundaan operasi disebabkan beberapa ujian keselamatan yang perlu ditempuhi.

“Seperti yang saya katakan, keselamatan adalah keutamaan kami. Jadi siapa yang akan bertanggungjawab jika saya membuka operasi Aerotrain ini tanpa melalui ujian keselamatan terlebih dahulu.

“Oleh itu, kami tidak akan benarkan ia beroperasi sehingga kami puas hati yang ia selamat untuk digunakan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pengoperasian Aerotrain itu penting bagi menyambut ketibaan delegasi ASEAN dan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pada Mac 2022, Malaysia Airports mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.

Bagaimanapun, projek ber­kenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali ke landasan asal. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×