BERA: “Abang, jaga anak kita,” demikian kata-kata terakhir Sakirah Akob, 31, yang sempat menyerahkan anak sulung mereka berusia setahun empat bulan ke tangan suaminya sebelum dihanyutkan arus deras Sungai Triang di sini, Isnin lalu.
Anggota tentera di Kem Bera, Sarjan Abdul Wahid Randa, 32, berkata, tragedi itu dugaan paling berat dalam hidupnya.
Namun, katanya, dia reda menerima ketentuan Ilahi dan bertekad memenuhi harapan Allahyarham untuk membesarkan Aleesyah Humaira menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Saya tidak sangka kereta kami di tepi sungai itu boleh menggelongsor begitu ketika saya sedang memancing. Isteri dengan sisa kudrat terakhir sempat menyerahkan Aleesyah ke tangan saya, sambil menyebut ‘abang’. Selepas itu, dia dihanyutkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Abdul Wahid, pemergian isterinya bukan pengakhiran dalam hidup, sebaliknya permulaan tanggungjawab besar perlu dipikul demi amanah yang ditinggalkan.
“Selagi saya bernyawa, saya akan jaga Aleesyah seperti yang arwah mahukan. Dia ialah warisan cinta kami. Saya mahu anak ini membesar sebagai insan solehah dan berjasa kepada masyarakat, insya-Allah,” katanya.
Arwah Sakirah yang merupakan suri rumah sepenuh masa disifatkan Abdul Wahid sebagai penyayang, lemah-lembut dan sentiasa menghormati suami.
Mereka baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran anak sulung bulan lalu.
“Jenazah dikebumikan di tanah kelahirannya, Kampung Angan-angan, Tenom, Sabah. Itu tempat arwah dibesarkan. Kami mahu sempurnakan urusan mengikut kehendak keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira pukul 8 pagi semalam (Selasa) oleh orang awam kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Dalam tragedi yang berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari Isnin lalu, Sakirah berada dalam kereta Perodua Bezza bersama anak perempuan sementara suaminya memancing tidak jauh dari kawasan Pasar Ayam Kerayong.
Secara tiba-tiba, kereta itu dilaporkan bergerak sendiri dan terjunam ke dalam sungai. – UTUSAN










