Waris kubur bersyukur isu milik tanah masjid hampir selesai

Waris kubur bersyukur isu milik tanah masjid hampir selesai

PERKUBURAN yang terdapat dalam kawasan Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu dekat Bagan Serai. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Waris lebih 30 kubur di kawasan Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu di sini bersyukur apabila kawasan perkuburan tersebut bakal menjadi milik masjid tersebut.

Seorang waris kubur tersebut mengakui sebelum ini bimbang jika isu pemilikan tanah masjid termasuk kawasan perkuburan tidak dapat diselesaikan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk kubur tersebut dipindahkan.

Menurut Mat Saky Osman, 52, yang juga ahli kariah masjid itu, kubur arwah ibunya, Maimunah Sulaiman antara yang terdapat di kawasan perkuburan masjid tersebut.

Katanya, dia tidak senang duduk sejak mengetahui kawasan kubur itu bukan milik masjid sebaliknya sudah dijual kepada pemilik bukan Islam

Pelbagai kemungkinan bo­leh berlaku katanya, sekiranya pihak masjid gagal membeli kembali tanah itu termasuk kubur tersebut dipindahkan.

“Saya bersyukur pihak masjid berusaha membeli tanah tersebut dengan melancarkan kutipan dana. Saya terharu apabila kutipan derma mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

“Kami sekeluarga lega apabila kutipan derma sudah mencecah RM2.3 juta.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang bukan sahaja menyelamatkan bangunan masjid, bahkan turut menyelamatkan lebih 30 pusara yang ada dalam kawasan masjid,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mat Saky berharap urusan membeli tanah daripada pemilik dapat disegerakan.

Dia juga berharap kes itu dijadikan iktibar supaya pengurusan semua masjid memastikan menguruskan tanah wakaf dibuat secara dokumentasi untuk mengelak kejadian sama.

“Saya menyarankan kepada waris pewakaf tanah supaya lebih peka, menghormati dan menerima wasiat yang dibuat oleh si mati. Jangan sesuka hati menjual tanah yang telah diwakafkan kepada pihak lain,” katanya.

Sebelum ini, jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Ridzuan memaklumkan derma sumbangan orang rama untuk membeli sebahagian tanah masjid ity yang merupakan milik bukan Islam sudah mencukupi dan kini dalam urusan pembelian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN