Wanita buat laporan palsu disamun, elak bayar hutang, sewa rumah - Utusan Malaysia

Wanita buat laporan palsu disamun, elak bayar hutang, sewa rumah

HANTARAN yang dibuat seorang pengguna Facebook dipercayai menantu mangsa menceritakan detik kejadian ‘samun’ berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis mengesahkan dakwaan kononnya seorang wanita disamun dalam kejadian berhampiran Taman Pandan Damai di sini pagi semalam sebagai palsu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, wanita berusia 57 tahun itu dipercayai membuat laporan palsu bagi mengelak membayar hutang dan sewa rumah.

Katanya, wanita itu sebelum ini tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading kira-kira pukul 9.40 pagi semalam mendakwa telah disamun oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta berwarna hitam dan bersenjatakan pemutar skru.

“Dalam laporan itu, dia mendakwa wang tunai RM1,500 dan barang kemas miliknya dilarikan suspek berhampiran padang Taman Pandan Damai. Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati tiada kejadian samun berlaku.

“Siasatan lanjut mendapati wanita itu membuat laporan palsu atas kepentingan diri sendiri. Dia juga berada dalam keadaan waras ketika membuat laporan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini.

Wan Mohd. Zahari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada penjawat awam.

Semalam, satu hantaran berkaitan kejadian ‘samun’ dibuat seorang pemilik akaun Facebook dipercayai menantu kepada wanita terbabit.

Hantaran itu menceritakan detik kejadian dan telah mendapat perhatian serta perkongsian warganet sebelum dipadam oleh individu berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN