KANGAR: Wang Gunung Trail Run edisi ke-3 kembali yang akan berlangsung di Taman Buah-buahan Eksotik di sini pada 12 hingga 13 Julai depan.
Menariknya, larian kali ini bersekali dengan musim buah-buahan di Banjaran Nakawan.
Pengarah acara, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, Wang Gunung Trail Run kali ini dijangka lebih meriah apabila bertepatan dengan musim buah-buahan tempatan yang melimpah di sekitar Banjaran Nakawan.
Katanya, para peserta bukan sahaja diuji ketahanan fizikal mendaki dan menuruni laluan mencabar, malah turut disajikan dengan pengalaman unik menikmati hasil bumi segar seperti durian, rambutan dan dokong di sepanjang laluan.
“Acara ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan larian denai, malah mempromosikan kekayaan alam semula jadi dan hasil pertanian tempatan.
“Selain itu, produk industri kecil daripada komuniti sendiri menjadikannya satu penganjuran yang menggabungkan elemen sukan, eko-pelancongan, agro-pelancongan dan budaya tempatan.
“Acara-acara sebegini juga antara tarikan pengunjung ke Perlis yang akan menyambung Tahun Melawat Perlis sehingga 2026 nanti,” katanya di sini hari ini.
Banjaran Nakawan tidak asing lagi bagi peminat acara larian lasak seperti Nakawan Ultra yang telah diiktiraf sebagai tempat ketiga laluan larian tercantik di peringkat Asia.
Komuniti setempat serta agensi kerajaan juga memainkan peranan untuk menjayakan acara sebegini.
Pendaftaran masih dibuka sehingga 31 Mei 2025 melalui laman sesawang www.mep21-online.com.-UTUSAN