PEKAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpulkan kepakaran dan berkongsi amalan terbaik ekosistem inklusif buat pertama kalinya dalam International Carnival on Inclusive Technology and Ecosystem (iNCLUSIVE) 2025 di perpustakaan universiti itu di sini.
Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D. Jacob berkata, pihaknya menghargai inisiatif UMPSA yang berjaya menggabungkan pelbagai pihak dari sektor pendidikan, industri dan komuniti ke arah membina ekosistem teknologi inklusif negara.
“Usaha seperti ini akan menjadi pemangkin kepada inovasi dan kesejahteraan nasional serta selari dasar Madani yang menekankan keadilan sosial, kreativiti dan kemakmuran bersama,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias menyifatkan penganjuran iNCLUSIVE 2025 sebagai detik bersejarah yang memperkenalkan satu naratif baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara yang menggabungkan kecemerlangan teknologi dengan nilai kemanusiaan dan empati.
“iNCLUSIVE bukan sekadar program, tetapi satu platform untuk kita menzahirkan teknologi yang bersifat penyatu dan pemulih, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan seperti SDG 4, 9 dan 10,” ujarnya.
Menerusi Pusat Perkhidmatan Inklusif, UMPSA memperkukuhkan lagi komitmen dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeluruh merangkumi sokongan infrastruktur, kurikulum, sokongan psikososial serta pembangunan kerjaya bagi pelajar berkeperluan khas.
Karnival iNCLUSIVE 2025 membawa tema “Education, Technology and Ecosystem” dan menyaksikan tujuh program utama termasuk persidangan maya, pameran fizikal, forum hibrid serta klinik e-sukan yang mencerminkan pendekatan pelbagai dimensi dalam menyampaikan teknologi kepada semua.
Karnival ini turut menampilkan dua sesi forum utama bertemakan Perkongsian Amalan Terbaik yang berlangsung secara hibrid.
Slot pertama “The Synergy of HATi, Technology as Enabler for the Inclusive Community” menampilkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif, UMPSA, Dr. Munira binti Abdul Razak sebagai moderator manakala Dr. Yatimah, Pensyarah Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (UIAM), Dr. Aidrina binti Mohamed Sofiadin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jonetsu Company Inc., Jepun, Miki Yoshikazu sebagai panel bagi forum tersebut.
Manakala slot kedua “iNCLUSIVE: From Campus to Global Community” pula menampilkan Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, Mohammad Hazeem Azemi sebagai moderator manakala Isaiah, Setiausaha Bahagian Tugas-tugas Khas, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohd. Suhaimi Jaafar dan Ketua Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Dr. Mohd. Zulkifli Abdul Rahim sebagai ahli panel.
Majlis turut menyaksikan Yatimah bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Miki Yoshikazu.
Selain perkongsian amalan terbaik di peringkat antarabangsa, kerjasama ini juga dilihat mengadaptasi teknologi bagi menyokong keperluan orang kurang upaya (OKU) dalam kehidupan harian dan pembangunan kemahiran. – UTUSAN