KUALA KANGSAR: Meninggalkan minat bermotosikal menjadi antara cabaran seorang pemuda di sini, bagi meneruskan usaha pertanian jagung manis yang dimulakan oleh arwah bapanya.
Rezeki memihak Muhammad Hafizie Alwi, 28, apabila keputusan untuk memenuhi cita-cita bapanya itu berjaya sehingga anak jati Kuala Kangsar itu kini bergelar petani muda.
Bermula dengan keluasan tanah dua ekar milik bapanya pada tahun 2015, Hafizie kini mengusahakan tanaman di atas tanah bersaiz lebih lapan hektar itu termasuk tanah dipajak daripada penduduk di Kampung Ujung Tanjung, Lubuk Merbau dekat sini.
Katanya, tanamannya kini dianggarkan mempunyai kapasiti 105,000 pokok jagung, yang boleh dikutip hasil secara berjadual.
“Saya dulu belajar dalam bidang permotoran. Memang minat motosikal sehingga membuka bengkel sendiri. Namun saya belajar sedikit demi sedikit untuk menguruskan tanaman ini. Lega kerana ia membuahkan hasil dan menjadi sumber pendapatan saya,” katanya.
Jualan bulanan yang berjaya diraih oleh Hafizie mampu mencecah sehingga RM8,000, melonjak daripada RM4,000 sewaktu peringkat awal dia terlibat dengan penanaman tersebut.
Dia gembira apabila setiap kali buah dikutip selang 70 hari, kesemuanya akan diambil oleh pemborong termasuk batang pokok yang digunakan sebagai makanan ternakan.
Katanya, tanaman diusahakan semakin berkembang terutama dengan khidmat nasihat dan padanan perniagaan oleh Jabatan Pertanian negeri.
“Kini saya cuba meneroka tanah baharu untuk menambahkan tanaman bagi memenuhi permintaan,” katanya yang memberitahu jagung dibekalkannya kemudian diproses menjadi produk makanan bertin dan sejuk beku.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche daerah Kuala Kangsar sebagai Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia iaitu Agromakanan Perak – Lembah Makanan Negara.
Ia juga menepati Flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan Flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang dicetuskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.-UTUSAN.