Tupai King varieti durian asli Pulau Pinang jadi buruan pelancong

Tupai King varieti durian asli Pulau Pinang jadi buruan pelancong

YEAP Gaun Fong menunjukkan kualiti durian yang dijual dari kebunnya di Teluk Bahang, Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Biarpun berdepan cabaran kos penyelenggaraan yang kian meningkat, seorang pekebun durian tempatan tetap gigih memperkenalkan keunikan pelbagai varieti durian asal Pulau Pinang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa sebagai daya tarikan pelancong ke negeri ini.

Yeap Gaun Fong, 46, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri pelancongan dan pertanian berkata, kebun-kebunnya di sekitar Balik Pulau, Teluk Bahang, Pantai Acheh dan Paya Terubong merupakan lokasi asal kepada pelbagai varieti unik yang kini menjadi buruan peminat durian sejati.

“Pulau Pinang ada lebih 200 varieti durian di mana antara varieti tempatan Pulau Pinang adalah D604, Siau Hong, Horlor, Kun Poh dan Jacky Chan Wife yang jarang dijumpai di tempat lain.

“Setiap jenis ada rasa tersendiri. Ada yang pahit manis, ada yang berlemak dan rasa durian Pulau Pinang diakui pelanggan memang berlainan daripada durian negeri lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Gaun Fong, durian dari Pulau Pinang lazimnya memiliki rasa yang lebih kompleks kerana faktor geografi seperti tanah bukit yang subur, iklim panas dan laut yang mengelilingi pulau.

“Kombinasi ini menghasilkan isi durian yang lebih tebal, pekat dan beraroma kuat dan ia ciri yang sangat digemari oleh peminat tegar durian.

“Jadi, kalau dibandingkan dengan Musang King dari tempat lain, durian Musang King dari sini (Pulau Pinang) lebih berlemak ada rasa pahit manis seimbang dan kadang-kadang ada rasa seperti alkohol, rasa ini yang buat durian Pulau Pinang unik dan bernilai tinggi,” katanya.

Jelas beliau, ketika ini, antara varieti eksklusif yang paling mendapat sambutan ialah Tupai King iaitu mula dikomersialkan sekitar tahun 2021.

“Harganya boleh men­cecah RM130 sebiji untuk gred A, ia mempunyai rasa unik dan tekstur istimewa yang mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan luar negara.

“Cuma, untuk tahun ini, Tupai King tidak banyak menjadi kerana faktor cuaca. Pokok di kebun saya pun ada sekitar 200 biji sahaja sekarang ini dan semuanya sudah habis ditempah,” katanya yang turut mengeksport durian segar ke Hong Kong.

Jelas Gaun Fong, pelancong, khususnya dari China dan Hong Kong amat meminati rasa pahit lemak durian varieti asli Pulau Pinang berbanding rasa manis semata-mata seperti yang biasa dijumpai di pasaran luar.

“Ada pelanggan tetap dari China dan Hong Kong yang sanggup datang setiap tahun hanya untuk merasa varieti tertentu seperti D604 yang hanya gugur dalam tempoh seminggu dua sahaja,” katanya.

Ujarnya, biarpun permintaan tinggi, kos operasi juga semakin meningkat selepas pandemik Covid-19 termasuk harga baja, dan penyelenggaraan pokok namun dia tetap meneruskan perniagaan menjual durian kerana minat yang mendalam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN