Tumpu transformasi digital, tenaga – PM

Tumpu transformasi digital, tenaga – PM

KERJA-kerja menghias sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 . – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memberi tumpuan kepada transformasi digital selain peralihan tenaga, dengan penekanan terhadap kerjasama rentas sempadan sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Perdana Menteri berkata, da­lam inisiatif itu, penyediaan infrastruktur perlu dilaksanakan untuk menyokong ekosistem digital serantau.

Katanya, Malaysia kini diiktiraf sebagai antara negara yang mempunyai dasar jelas serta kestabilan politik yang menjadi asas kepada pelaburan dan kemajuan digital.

“Tumpuan sebagai Pengerusi ASEAN adalah peralihan tenaga dan kita telah berjaya bersama Vietnam, Singapura dalam projek Grid Kuasa ASEAN tetapi fokus terbesar adalah transformasi digital.

“Negara jiran juga boleh ber­kongsi serta menyokong usaha ini kerana kita mahu ASEAN, bukan Malaysia sahaja, menjadi hab digital yang lebih kompetitif,” kata­nya berucap merasmikan sya­rikat penyedia teknologi reka ben­tuk litar bersepadu (IC), MaiStorage Technology di sini, semalam.

MaiStorage merupakan sebahagian daripada Phison Group, pembekal pengawal NAND flash dan penyelesaian storan diasaskan oleh Datuk Pua Khein Seng yang memberi fokus kepada pusat data, aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan industri automotif di Malaysia.

Menurut Anwar, AI dan inovasi digital juga akan menjadi fokus utama dalam pertemuan beliau dengan pemimpin ASEAN, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Tambah beliau, kejayaan Malaysia menarik pelaburan dalam sektor teknologi tinggi termasuk pusat data dan AI, membuktikan bahawa ekosistem digital negara berada di landasan yang kukuh.

Anwar turut menekankan pentingnya pelaksanaan dasar yang berkesan dan tadbir urus yang baik untuk memastikan hasil yang mampan.

“Cabaran terbesar kita adalah pelaksanaan yang berkesan. Sebab itu saya dan pasukan memberi tumpuan awal kepada soal tadbir urus.

“Dengan disiplin, dasar yang jelas dan pelaksanaan telus tanpa rasuah, kita boleh jadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dalam bidang AI dan digital,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×