TUBE 11: Bantuan kewangan RM7.5 juta bakal manfaat 500 usahawan belia - Utusan Malaysia

TUBE 11: Bantuan kewangan RM7.5 juta bakal manfaat 500 usahawan belia

AMIZAR Abu Adam (dua dari kanan) mewakili Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan replika cek kepada peserta terbaik Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Geran perniagaan berjumlah RM7.5 juta bakal memberikan manfaat kepada 500 usahawan belia bumiputera melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi SME Corp. Malaysia pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, sejak diperkenalkan pada 2014, Program TUBE sudah menyalurkan geran perniagaan berjumlah RM125.84 juta dan melatih seramai 8,653 belia.

Katanya, seramai 8,312 belia berjaya mendaftarkan perniagaan yang mencatatkan nilai jualan terkumpul berjumlah RM207.22 juta dan mewujudkan 16,690 peluang pekerjaan.

“SME Corp. Malaysia akan terus komited dalam memantau perkembangan setiap peserta TUBE bagi memastikan perniagaan mereka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

“Bagi memastikan belia bumiputera mendapat sokongan berterusan, SME Corp. Malaysia turut menyediakan pelbagai inisiatif lain termasuk bantuan bersepadu di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) dan BEEP Plus serta Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB), khusus untuk usahawan menembusi pasaran global.

“Di samping itu, usahawan bumiputera juga ditawarkan pembiayaan patuh syariah bagi usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan melalui Tunas-i dan Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI)@BEEP untuk pengembangan modal dan kapasiti,” katanya pada Majlis Penutupan Program TUBE 11 Zon Timur di University College of Yayasan Pahang (UCYP), Kuantan di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam selaku wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

TUBE 11 dilaksanakan dengan kerjasama Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan. agensi-agensi di bawah KUSKOP.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya yang dibacakan oleh Amizar berkata, pelantikan beliau oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) merupakan amanah besar untuk memastikan agenda pembangunan PMKS di Malaysia yang lebih strategik dan inklusif.

Menurutnya, aspirasi kerajaan adalah jelas iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara usahawan yang mana keusahawanan bukan sekadar pilihan kerjaya, tetapi satu budaya, sistem sokongan dan kekuatan ekonomi nasional.

“Usahawan mesti menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan ia bermula di sini bersama para peserta TUBE,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN