OSAKA, Jepun: Transaksi platform e-dompet atau e-wallet dalam rakyat Malaysia meningkat sebanyak 308.3 peratus dalam tempoh enam tahun sejak 2019.
Menurut Laporan Bank Negara pada 2024, jumlah transaksi e-wallet melonjak daripada RM3.6 bilion pada 2019 kepada RM14.7 bilion tahun lalu.
Pengarah Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan KPDN, Muhammad Hanif Asa’ri berkata, pertumbuhan setiap tahun itu disumbang oleh usaha semua penyedia perkhidmatan dan pelaksanaan program advokasi dijalankan kerajaan.
Katanya, dalam tempoh sama, jumlah peniaga mengaplikasi e-wallet turut meningkat ketara daripada 300,000 pada 2019 kepada 2.6 juta pada 2024.
“Ini menunjukkan inisiatif digitalisasi runcit oleh kerajaan bagi mempromosikan e-wallet khususnya masyarakat luar bandar menunjukkan hasil apabila penggunaan semakin bertambah.
“Malah data menunjukkan purata 64 peratus rakyat Malaysia menggunakan transaksi tanpa tunai yang merangkumi 63.8 peratus di bandar manakala 36.5 peratus di luar bandar,” katanya dalam sesi Theme Week Studio bersempena Osaka Japan World Expo 2025 di sini kelmarin.
Katanya, purata 409 transaksi pembayaran digital dicatat bagi setiap individu pada 2024, meningkat daripada 343 transaksi pada tahun sebelumnya.
“Bagi agihan jenis transaksi e-pembayaran, perbankan dalam talian menyumbang peratusan tertinggi iaitu 39 peratus diikuti oleh 38 peratus e-tunai, 22 peratus melibatkan kad pembayaran dan direct debit pula satu peratus.
“Peningkatan ini dilihat sebagai hasil kejayaan dasar pendigitalan negara serta sokongan infrastruktur kewangan kukuh, termasuk inisiatif menyasarkan peningkatan penggunaan e-wallet dalam kalangan peruncit dan pengguna seluruh negara,” katanya.
Kata Muhammad Hanif, tinjauan KPDN mendapati kira-kira 98 peratus pengguna negara ini berpuas hati dengan peningkatan penggunaan e-wallet dalam kalangan peniaga.
“Satu kajian kes nyata turut dikongsikan melibatkan Pulau Redang, di mana penggunaan e-wallet dalam kalangan peniaga tempatan di kawasan luar bandar itu telah meningkat dengan ketara.
“Kini lebih 90 peratus peniaga di pulau berkenaan menerima pembayaran tanpa tunai, memperlihatkan kejayaan pendigitalan di kawasan yang sebelum ini kurang akses kepada kemudahan itu,” katanya.-UTUSAN.











