KANGAR: Kerajaan negeri perlu memberi fokus kepada pelancongan berasaskan sukan dan pertanian sebagai sebahagian strategi dalam sektor pelancongan khususnya bagi menarik kehadiran pelancong ke Perlis bersempena Tahun Melawat Perlis dan Tahun Melawat Malaysia tahun depan.
Pelancongan berasas sukan atau sport tourism dan pelancongan berasas pertanian atau agro tourism itu sesuai dilaksanakan di Perlis berikutan negeri ini mempunyai keunikan tersendiri selain keindahan alam semula jadinya.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, Perlis mempunyai keunikan yang tersendiri yang berpotensi menarik kehadiran
pelancong seperti kepelbagaian produk makanan, keindahan alam semula jadi, keadaan muka bumi dan geografi yang sesuai untuk sukan lasak serta lokasi membeli-belah.
Katanya, melihat kepada sambutan pelancong ke negeri ini sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, kerajaan negeri juga bersetuju melanjutkan pelaksanaan Tahun Melawat Perlis sehingga tahun depan yang selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Bagi tujuan ini, kerajaan negeri akan melaksanakan usaha untuk menaik taraf kawasan-kawasan pelancongan, pengenalan kepada destinasi-destinasi pelancongan baharu serta pelaksanaan strategi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya sempena perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di sini hari ini.
Mohd Shukri memberitahu, seramai 2.9 juta pelancong direkodkan ke negeri ini pada 2024 dan menyasarkan sehingga 3.5 juta pelancong ke Perlis pada tahun ini.
“Sehingga April 2025, kedatangan pelancong adalah seramai 860,000 orang. Bagi mengekalkan prestasi yang baik ini, kerajaan negeri akan terus menjalinkan kerjasama yang rapat dengan semua pihak berkepentingan.
“Ia seperti kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia dan semua pemain industri dalam usaha membangun dan mempromosikan produk pelancongan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shukri memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memperkenal dan melancarkan satu aplikasi aduan di dalam talian dikenali sebagai Electronic Complaint Perlis System (ECOMPs) sebagai usaha menjadikan Perlis sebuah negeri pintar.
Katanya, ECOMPs merupakan satu inovasi dibangunkan JKR Perlis untuk memenuhi hasrat kerajaan negeri memperkasakan sistem aduan awam melalui penggunaan teknologi digital selaras dengan agenda Perlis digital.
“Sistem ini bertujuan untuk menggantikan sistem aduan manual kepada satu aplikasi digital yang pantas, efisien dan mesra pengguna. Melalui ECOMPs orang awam dan penjawat awam boleh menyalurkan aduan berkaitan kerosakan infrastruktur seperti lampu jalan, lampu hiasan, lampu isyarat, bangunan kerajaan dan jalan raya melalui telefon bimbit.
“Ini bukan sahaja memudahkan rakyat, malah aplikasi ini juga turut menjadi penghubung antara agensi lain seperti Majlis Perbandaran Kangar (MPK). Melalui aplikasi ini, pengadu boleh menyemak status aduan mereka di dalam sistem tersebut dan mendapat notifikasi daripada WhatsApp,” katanya.-UTUSAN