SEREMBAN: Tiga lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan curi kenderaan ditahan kurang 24 jam selepas pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan sebuah kereta di Oakland, di sini pada 19 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek dipercayai mencuri kunci kereta mangsa di pusat cuci kereta sebelum melarikan kenderaan tersebut dalam kejadian pada pukul 10 pagi.
“Bertindak atas maklumat, pada hari sama pukul 5.30 petang, polis telah menahan tiga lelaki berusia 34 hingga 48 tahun di Cheras, Selangor dan berjaya merampas kereta jenis Honda Civic yang dilaporkan hilang.
“Ekoran dari kejayaan tangkapan ke atas suspek, polis juga berjaya merampas sebuah kereta pacuan empat roda jenis yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya, Selangor pada 16 Mei lalu serta merampas peralatan khas mencuri kenderaan, kunci kenderaan, kad Touch n Go dan pelbagai beg tangan,” katanya.
Mohamad Hatta berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga, polis telah merampas tujuh paket disyaki dadah.
Katanya, daripada semakan rekod jenayah pula mendapati seorang suspek mempunyai 77 rekod jenayah lampau dan dua rekod dikehendaki atas kesalahan dadah dan curi kenderaan mewah di Kepong, Selangor manakala seorang lagi suspek mempunyai 61 rekod jenayah lampau dan rekod masih dikehendaki atas kesalahan cubaan membunuh di Bentong, Pahang.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya yang memberitahu polis juga berjaya menyelesaikan 13 kes kecurian kenderaan mewah susulan penahanan suspek.-UTUSAN.