Tekong darat maut, tujuh PATI cedera

Tekong darat maut, tujuh PATI cedera

KEADAAN kereta yang dinaiki tujuh PATI Myanmar selepas terlibat kemalangan terbabas di jalan Bunut Sarang Burung-Kampung Kebakat, Tumpat, Kelantan-IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang buruh yang bertindak sebagai tekong darat maut manakala tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di jalan Bunut Sarang Burung-Kampung Kebakat di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun maut semasa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sekitar 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian suspek memandu kereta jenis Proton Perdana dari arah Bunut Sarang Burung menghala ke arah Kota Bharu dipercayai membawa PATI.

Menurutnya, kereta dipandu suspek dipercayai hilang kawalan semasa melarikan diri ke arah Kota Bharu melalui Jalan Kebakat selepas dikejar oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan.

“Ekoran itu, kereta dipandu suspek terbabas lalu terlanggar longkang konkrit di laluan bertentangan.

“Tujuh PATI yang mengalami kecederaan masih mendapatkan rawatan di HRPZ II,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Khairi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kesemua PATI disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat
Polis Daerah Tumpat atau boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Luqman Al-Hakim Awang di talian 09-7257222.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN