Subsidi katarak kurangkan masa menunggu - Utusan Malaysia

Subsidi katarak kurangkan masa menunggu

WAN ROSDY Wan Ismail (kiri) menguji kesihatan mata sempena Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata melalui Inisiatif Makmur Pahang di Hospital Lipis di Lipis, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Masa menunggu untuk menjalani pembedahan katarak mata dapat dikurangkan daripada lapan ke empat bulan menerusi Inisiatif Makmur (IM) Pahang yang menyediakan subsidi pelaksanaan prosedur itu kepada warga emas.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif ini merupakan antara pendekatan berterusan kerajaan negeri dalam memastikan aspek kesihatan rakyat, khususnya warga emas, diberi perhatian serius tanpa dikompromi.

Menurutnya, program ini mula diperkenalkan sejak tahun lalu dengan peruntukan awal sebanyak RM1.5 juta yang memberikan manfaat kepada 854 warga emas di seluruh negeri ini.

“Melalui Belanjawan 2024, kerajaan negeri menyalurkan dana yang mencukupi bagi menampung kos pembedahan serta belanja pengurusan agar warga emas tidak terbeban dengan kos rawatan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata Warga Emas Negeri Pahang di bawah IM Pahang 2025 di Hospital Lipis di sini.

Ketika ini, empat hospital kerajaan menjadi pusat pelaksanaan program berkenaan iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Rompin.

Wan Rosdy berkata, lebih membanggakan, pelaksanaan pembedahan katarak ini mendapat komitmen tinggi lebih 100 kakitangan kesihatan, termasuk pakar mata, jururawat dan petugas sokongan yang bertugas secara langsung memastikan operasi berjalan lancar.

“Melihat kepada kesan positif yang ditunjukkan, kerajaan negeri meneruskan program ini menerusi Belanjawan 2025 dengan peruntukan tambahan RM1 juta menyasarkan manfaat kepada 655 warga emas lagi tahun ini,” katanya.

Bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat, kerajaan negeri merancang menambah bilangan hospital pelaksana daripada empat buah ketika ini kepada sekurang-kurangnya satu hospital di setiap daerah, bergantung kepada kemudahan dan fasiliti sedia ada.

“Inisiatif ini akan diperluas secara berperingkat bagi memastikan tiada warga emas tercicir, terutama yang tinggal jauh dari hospital terlibat. Akses kepada rawatan mesti menyeluruh dan tidak bersifat berpusat semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN