BACHOK: Dua suspek termasuk seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid terhadap pemilik spa dan salon di Beris Kubur Besar di sini pada 17 Mei lalu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, jaminan itu diberikan kedua-dua suspek sehingga laporan sampel asid yang diambil dari kilang tempat mereka bekerja diperoleh dari Jabatan Kimia dan makmal forensik Polis Diraja Malaysia.
“Sebelum ini, lelaki berusia 45 tahun dan wanita 38 tahun itu telah ditahan di Kuala Krai untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah di Kuala Krai pada 21 Mei lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Wanita itu ditahan reman selama lima hari bermula 22 Mei hingga Sabtu lalu sebelum tempoh tahanannya ditambah empat hari lagi.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 45 tahun yang merupakan rakan sekerja kepada wanita tersebut turut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.-UTUSAN