‘SIKULAH’ RIMBA DEMI ANAK BATEQ

‘SIKULAH’ RIMBA DEMI ANAK BATEQ

SEBAHAGIAN pelajar dan murid orang asli etnik Bateq bersama sukarelawan yang menyertai sesi pembelajaran di 'Sikulah' Rimba Bateq di Kampung Kuala Atok, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seawal pukul 7 pagi setiap hari Sabtu dan Ahad, tiga sukarelawan pertubuhan Birds Group Taman Negara (BGTN) dan Nature Lifeguard, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan mula menghilir Sungai Tembeling ke Kampung Kuala Atok.

Kampung itu terletak sejauh kira-kira 30 minit perjalanan dari jeti Kampung Kuala Tahan berdekatan pintu masuk Taman Negara di sini.

Biarpun terpaksa menempuh laluan berliku tiga buah jeram, namun ia bukan penghalang buat sukarelawan terbabit diketuai oleh Roslan Abu Kassim untuk ke bangsal kayu hutan yang dikenali sebagai ‘Sikulah’ Rimba bertemu dengan pelajar dan murid Orang Asli etnik Bateq di situ.

Di bangsal kayu itu, seramai 81 pelajar dan murid kaum minoriti tersebut sudah berkumpul sambil berlari-lari dan bermain sesama mereka sementara menunggu sukarelawan berkenaan tiba.

Di belakang mereka, tersedia beg galas berisi peralatan tulis dan buku yang akan digunakan untuk sesi pembelajaran di ‘Sikulah’ Rimba berdekatan situ yang masih serba kekurangan dengan kemudahan belajar.

Pelajar terbabit sudah diasingkan mengikut tahap satu seramai 36 orang yang berusia antara empat hingga 12 tahun manakala tahap dua seramai 45 orang usia antara 13 hingga 20 tahun.

Roslan dan rakan sukarelawan ketika mengajar di situ juga menyediakan bahan-bahan pem­belajaran seperti buku, kad manila, kertas lukisan, warna dan raket badminton yang disumbang oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kesemua alat bantuan mengajar tersebut perlu diangkut dengan bot dan kemudiannya mereka berjalan kaki mengharungi denai hutan selama hampir 15 minit sebelum tiba di pekarangan ‘Sikulah’ Rimba.

Sungguh gembira dan ceria anak-anak etnik Bateq kampung itu apabila melihat guru mereka muncul melalui denai di celah pokok besar kawasan hutan di situ serta disambut dengan perasaan bersemangat untuk belajar di Kelas Rimba.

ROSLAN Abu Kassim (berdiri) ketika mengajar anak Orang Asli etnik Bateq di Kampung Kuala Atok di Jerantut, Pahang.

IMPIAN TERCAPAI

Sinonim dengan kehidupan berpindah-randah serta asimilasi dengan survival hutan hujan tropika Taman Negara yang berusia lebih 130 juta tahun, kini anak Orang Asli etnik Bateq mula mengenal alam persekolahan dengan mempelajari asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Roslan berkata, impian mereka untuk membidik pengetahuan 3M akhirnya kesampaian apabila seramai 45 orang anak suku minoriti etnik Bateq di situ mula melangkah ke ‘kelas rimba’ yang mula diasaskan di sebuah bangsal kayu hutan tiga tahun lalu.

“Berasaskan nilai kemanusiaan serta prihatin terhadap keciciran anak Orang Asli di pedalaman menyebabkan kami dalam kalangan sukarelawan di sini dengan bantuan NGO luar berusaha menyedarkan masyarakat minoriti tersebut dengan merintis pembelajaran di ‘Sikulah’ Rimba Bateq.

“Sejak dibuka kelas ini, kami telah mendapat bantuan dan kepakaran daripada pelbagai pihak yang membiayai dana bagi menyediakan kemudahan aktiviti pembelajaran, pakaian, makanan serta kebajikan tertentu anak Orang Asli di Kampung Kuala Atok,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

PELAJAR dan murid Orang Asli di Kampung Kuala Atok, Jerantut tekun belajar sambil dibimbing sukarelawan.

Menurut Roslan, setiap kali kelas, bukan sahaja pelajar dari Kampung Kuala Atok menunjukkan minat belajar malah rakan mereka dari Kampung Dedari, Kampung Teresek dan Kampung Yong yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Tahan juga sudah mula mengikuti pembelajaran di ‘Sikulah’ Rimba di situ.

“Saya bersama rakan tenaga pengajar dari Kuala Tahan, iaitu Nadrah Abdul Jalil dan Nakiah Abdul Wahab mengajarkan anak Orang Asli di sini kemahiran 3M juga penerapan nyanyian lagu kanak-kanak dalam bahasa Me­layu dan bahasa Inggeris terma­suk sesi pembelajaran melukis dan kraf tangan.

“Kelas ini juga dibantu oleh tenaga pengajar daripada belia Orang Asli di sini yang sebelum ini pernah menimba ilmu di ‘Sikulah’ Rimba ini dengan masing-masing sudah mampu menguasai 3M termasuk fasih berbahasa Melayu dan sedikit bahasa Inggeris,” katanya.

USAHA SUKARELAWAN, NGO MEMBUAHKAN HASIL

Cerita Roslan lagi, usaha pembelajaran yang dirintis di ‘kelas rimba’ itu telah membuahkan hasil apabila seramai 29 orang kanak-kanak di situ sudah memasuki pendidikan formal, iaitu kelas prasekolah dan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Merting, Jerantut terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari kampung itu dua tahun lalu dan sehingga kini jumlah itu semakin bertambah.

Tok Batin Kampung Atok, Husin Dayak pula berkata, pembukaan ‘Sikulah’ Rimba merupakan kesempatan terbaik kerana anak di situ dapat belajar berbanding sebelum ini tidak dapat berbuat demikian kerana kerap berpindah-randah dan kemiskinan.

“Usaha sukarelawan diketuai Roslan telah membuahkan hasil apabila kanak-kanak di sini sudah memasuki pendidikan formal dan saya yakin lebih ramai lagi akan mengikuti jejak yang sama.

“Jangan salah anggap terhadap sikap ibu bapa kanak-kanak di sini, bukan kami tidak suka menghantar anak-anak pergi belajar, tetapi kemiskinan, tanpa pekerjaan tetap hanya bersumberkan hasil hutan dan masih berpindah randah penyebab berlaku keciciran pelajaran,” katanya.

KUASAI 3M

Sementara itu, Nadrah berkata, pendekatan pembelajaran yang digunakan seperti pembelajaran formal di sekolah rendah, iaitu peringkat asas mengenal 3M menerusi penggunaan kad abjad, kad suku kata, kad perkataan dan buku bacaan yang mudah.

KANAK-kanak Orang Asli etnik Bateq peringkat tahap satu melakukan aktiviti mewarna di ‘Sikulah’ Rimba Bateq, Kampung Kuala Atok, Jerantut, Pahang.

“Nyata hasil usaha kami menampakkan kejayaan apabila sebilangan besar sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di samping menunjukkan minat mendalam pelajaran nyanyian, kraf tangan dan lukisan.

“Kami mengajar mengikut kumpulan (kelas) berasaskan tahap kemahiran yang telah mereka (pelajar) kuasai dan kelihatan pencapaian kemahiran pembelajaran anak-anak di sini semakin meningkat dan bertambah semangat kami untuk terus mendidik mereka,” katanya.

SERONOK BELAJAR

Pelajar Orang Asli etnik Bateq, Naki Gaboi berkata, dia begitu seronok kerana dapat belajar di ‘Sikulah’ Rimba kerana diajar oleh guru berkenaan 3M dan sehingga ini sudah mampu membaca buku cerita dan menulis.

ANAK-ANAK Orang Asli menunjukkan hasil lukisan yang dipelajari mereka di ‘Sikulah’ Rimba Bateq.

“Saya amat berminat dalam sesi pembelajaran nyanyian lagu kanak-kanak dan lukisan mengenai binatang dan tumbuhan di Taman Negara,” katanya.

Ujarnya, sekiranya ada peluang dan galakan ibu bapanya serta kemudahan ke sekolah, dia akan menyambung belajar di sekolah rendah berdekatan supaya menjadi orang yang terpelajar dan dapat bekerja membantu keluarganya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN