PASIR MAS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar daerah ini semalam menerusi Op Sapu dan Jaja.
Penahan kesemua individu itu dilakukan hasil pemeriksaan di sekitar tapak pembinaan bangunan sebuah sekolah, madrasah dan kawasan berhampiran bangunan agensi kerajaan.
Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, daripada jumlah tersebut 13 yang ditahan itu merupakan lelaki warga
Bangladesh.
“Selebihnya adalah lelaki dan wanita warga Thailand. Kesemua pati yang ditahan itu masing-masing berusia antara 25 hingga 54 tahun.
“Kita telah bawa kesemua PATI itu dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff memberitahu, JIM Kelantan sama sekali tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang mendalangi dan bersubahat dalam melindungi PATI.-UTUSAN